HLIB kekal saranan 'beli' terhadap UMediC, TP 91 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' terhadap UMediC, TP 91 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap UMediC Group Bhd dengan harga sasaran (TP) 91 sen sesaham.

 

Katanya, ia didorong oleh usaha pembesaran kemudahan baharunya dengan sasaran untuk menggandakan kapasiti pengeluaran kepada 600,000 unit sebulan menjelang Disember 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka melihat potensi untuk kumpulan mencatatkan pengembangan selanjutnya didorong permintaan kukuh untuk produk perkilangannya sendiri.

 

"Mereka secara asasnya telah mempelbagaikan perniagaannya termasuk menyertai sektor penjagaan kesihatan dan ia dibuktikan dengan pembukaan UMC Care Centre," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

HLIB berkata, kumpulan itu telah  mempelbagaikan perniagaan mereka termasuk meneroka pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan penubuhan UMC Care Centre, sebuah usaha niaga baharu yang melengkapkan perniagaan terasnya bagi pengedaran peralatan perubatan.

 

Katanya, pusat itu itu akan ditempatkan di lot kedai empat tingkat berkeluasan 7,427 kaki persegi di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

"Ia akan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penjagaan warga emas, penjagaan jangka pendek untuk pesakit selepas pembedahan dan jangka panjang selain penjagaan individu yang mempunyai penyakit.

 

"Kelulusan untuk pelan lantai kemudahan itu telah diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan dan kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan. Ia dijangka siap pada akhir Mei 2024 dan dijadual mula beroperasi pada Julai tahun ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai UMediC didorong oleh usaha pengembangan kapasiti yang kukuh.

 

“Kelulusan pemindahan ke Pasaran Utama Bursa Malaysia baru-baru ini juga dijangka menarik minat institusi yang lebih besar dan meningkatkan harga saham kumpulan," katanya. - DagangNews.com