KUALA LUMPUR 5 Okt - IKEA Tebrau dan pusat beli-belah Toppen bekerjasama dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang turut dikenali sebagai Harimau Selatan, bagi menyemarakkan minat terhadap bola sepak dan memperkukuh hubungan komuniti dalam persekitaran suasana sukan popular itu yang berkembang pesat di Johor.
Sebagai suatu komponen penting kerjasama ini, Toppen bakal menjadi destinasi kepada rumah kelab peminat khusus di atas bumbung terbuka pusat beli-belah ini, iaitu The Topp.
Dijadualkan dibuka pada awal 2024, rumah kelab ini akan menampilkan gudang barangan dan ruang yang direka khusus untuk peminat JDT berhimpun di luar stadium.
Toppen kini sedang dalam proses untuk mendapatkan tayangan langsung semua perlawanan JDT, yang akan menjadikannya destinasi tunggal di Johor, selain stadium JDT, yang membolehkan peminat menikmati tayangan langsung perlawanan JDT secara konsisten bersama-sama dengan rakan penggemar.
Sementara itu, IKEA Tebrau sedang memuktamadkan suatu konsep unik yang menawarkan para peminat peluang untuk menikmati makanan IKEA kegemaran mereka sambil menghayati inspirasi perabot rumah, yang mengambil tempat di stadium JDT.
Komponen lain kerjasama ini merangkumi rumusan reka bentuk IKEA for Business bagi kawasan-kawasan penting di stadium JDT, dan promosi khas untuk peminat JDT di IKEA Tebrau.
Pengarah Komersial Ikano Centres, Arnoud Bakker berkata, sukan mempunyai kuasa yang unik dalam menyatukan masyarakat dan memupuk perhubungan, dan inilah sebabnya destinasi mereka komited terhadap pembinaan komuniti.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan JDT dalam memperkukuh hubungan kami dengan para peminat bola sepak di Selatan Malaysia dan mewujudkan rumah kedua bagi penyokong JDT di Johor Bahru," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Pengurus Cawangan IKEA Tebrau, Tony Vatuiu pula berkata, pihaknya gembira kerana berpeluang menjadikan IKEA Tebrau lebih mudah diakses melalui kerjasama ini.
"Saya benar-benar merasakan bahawa kerjasama antara IKEA Tebrau, Toppen, dan JDT akan menjadi ‘pasukan idaman’ jenama yang digemari ramai," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya juga gembira untuk bekerjasama dengan IKEA Tebrau dan Toppen dalam misi bersama dalam menyatupadukan komuniti menerusi kuasa sukan.
"Kerjasama ini bukan hanya mengenai perlawanan sukan, malah juga mengenai usaha mencipta rasa kekitaan dan keterujaan untuk para peminat kami," katanya. - DagangNews.com