Indeks harga pengeluar Malaysia meningkat 1.6% pada Mac 2024, semua sektor catat kenaikan - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengeluar Malaysia meningkat 1.6% pada Mac 2024, semua sektor catat kenaikan - DOSM

Pada asas bulanan, semua indeks menunjukkan peningkatan pada bulan ini manakala indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 3.2%.  - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Indeks harga pengeluar Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, naik 1.6% pada Mac 2024 berbanding 0.3% pada Februari lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor mencatatkan kenaikan pada Mac 2024, menyumbang kepada peningkatan indeks secara keseluruhan. 

 

Beliau berkata, sektor perlombongan naik 8.3% disebabkan oleh indeks Pengekstrakan petroleum mentah (11%) manakala sektort pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 5.5% dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan masing-masing meningkat sebanyak 9% dan 3.8%. 

 

"Sektor pembuatan meningkat perlahan 0.6% daripada negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (6.8%) dan pembuatan kimia dan produk kimia (1.4%). 

 

"Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 0.1% dan 6%.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.6% berbanding 0.7% pada Februari 2024 disumbangkan oleh kesemua sektor. 

 

Beliau berkata, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 4.3% disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (7.4%) dan pengeluaran ternakan (1%). 

 

Beliau berkata, sektor perlombongan meningkat 2.3% dipengaruhi indeks pengekstrakan petroleum mentah (2.3%). 

 

dosm

 

"Selain itu, sektor pembuatan turut meningkat 1.3 peratus selepas merekodkan tiada perubahan pada bulan sebelumnya. Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (3.7%) dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (1.6%) adalah antara subsektor yang mencatatkan peningkatan. 

 

"Sementara itu, indeks Bekalan elektrik & gas dan Bekalan air masing-masing naik sebanyak 0.5% dan 2.1%," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 7.4% pada Mac 2024 dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.8%. 

 

dosm

 

Katanya, indeks barang siap naik 1.9% disebabkan peningkatan dalam indeks kelengkapan modal (4%),  sebaliknya, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen terus menurun dengan kadar yang lebih perlahan negatif 0.4% disebabkan oleh indeks bahan api yang diproses & pelincir (-9.2%).

 

Pada asas bulanan, semua indeks menunjukkan peningkatan pada bulan ini manakala indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 3.2%. 

 

"Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen dan barang siap masing-masing meningkat 1.3% dan 0.9%," katanya. - DagangNews.com