KUALA LUMPUR 22 Mac - Kuala Lumpur City FC menjalinkan kerjasama dengan Jant Marketing Sdn. Bhd. iaitu syarikat air minuman dan mineral tempatan yang berpangkalan di Bandar Kinrara, Puchong.
Kerjasama itu bakal menyaksikan Jantzen menjadi rakan kongsi rasmi pasukan utama Kuala Lumpur City (Liga Super) dan skuad Bawah 23 (Piala MFL).
Matlamat Jantzen adalah untuk memastikan pasukan sentiasa terhidrat semasa hari latihan dan perlawanan untuk Musim 2023.
Kerjasama itu bertujuan mengetengahkan kepentingan sumber air bersih menerusi program pendidikan yang diberi keutamaan dalam bidang sukan khususnya dan kesedaran kepada hampir dua bilion penduduk di seluruh dunia yang tidak mempunyai akses kepada air bersih bagi tujuan minuman, memasak dan pembersihan.
BACA JUGA: Rinani Group peroleh pegangan majoriti dalam KL City FC
Pengarah Urusan Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan.
"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan syarikat yang berinovatif dan berpandangan jauh serta dapat memberi impak yang positif kepada pasukan KLCFC sebagai sebahagian daripada strategi kelestarian kumpulan Rinani Group Berhad dan juga untuk menyokong kerja yang mengubah lanskap kehidupan seharian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Majlis itu diadakan hari ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh pemilik Kuala Lumpur City FC, Azri Azerai; Ketua Pegawai Eksekutif Jantzen, Calvin Yee Jong Hoe dan Stanley Bernard. - DagangNews.com