KUALA LUMPUR 15 Mei - Kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini susut sebanyak 0.4% tahun ke tahun dengan mencatatkan sebanyak 191,900 kekosongan jawatan berbanding suku pertama 2023 (192,600 kekosongan), lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menerbitkan Statistik Guna Tenaga.
Kata DOSM, mengikut kategori kemahiran, sejumlah 107,500 kekosongan jawatan merangkumi 56.0% daripada jumlah kekosongan jawatan tertumpu pada kategori separuh mahir, diikuti oleh mahir dengan 24.9% (47,800) dan 19.1% (36,600) bagi berkemahiran rendah.
"Melihat kepada pecahan mengikut aktiviti ekonomi, sektor Pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang utama bagi kekosongan jawatan dengan 56.7% (108,800) terutamanya dalam subsektor Produk elektrik, elektronik dan optikal (33,400).
"Sektor Pertanian menduduki tempat kedua dengan 16.7% kekosongan jawatan (32,100) diikuti oleh Pembinaan dengan 13.4% (25,700)," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sejumlah 8.94 juta jawatan dicatatkan pada 1Q 2024, rekod tertinggi sejak 2018.
Katanya, statistik berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar dalam sektor swasta menyaksikan jumlah jawatan meningkat sebanyak 1.5% atau bersamaan dengan 131,700 ribu dari tahun ke tahun pada 1Q 2024 mencatatkan sebanyak 8.94 juta jawatan berbanding suku yang sama tahun sebelumnya (8.81 juta jawatan).
"Pertumbuhan dalam bilangan jawatan ini menunjukkan permintaan buruh di Malaysia dijangka semakin menggalakkan pada tahun 2024, selari dengan ekonomi Malaysia yang diramalkan akan berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu dari 4 hingga 5 peratus berikutan permintaan luar dan pelaburan yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan perincian jawatan diisi mengikut sektor ekonomi, sektor Perkhidmatan merupakan komposisi terbesar yang merangkumi 52.7% atau bersamaan dengan 4.61 juta.
Katanya, ini diikuti oleh Pembuatan (26.9%; 2.35 juta) dan Pembinaan (14.2%; 1.24 juta).
"Daripada jumlah jawatan diisi, kategori separuh mahir mendahului dengan 5.48 juta jawatan (62.7%), diikuti oleh mahir dengan 2.19 juta (25.1%) dan berkemahiran rendah dengan 1.07 juta (12.2%)," ujar Dr Mohd Uzir.- DagangNews.com