Jentayu peroleh kelulusan ECOS bagi projek loji kuasa hidro Oriole bernilai RM2.8 bilion di Sipitang | DagangNews Skip to main content

Jentayu peroleh kelulusan ECOS bagi projek loji kuasa hidro Oriole bernilai RM2.8 bilion di Sipitang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Jentayu Sustainables Berhad memperoleh kelulusan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) untuk membangunkan projek loji kuasa hidro Oriole 170 megawatt (MW) bernilai RM2.8 bilion di Sipitang, Sabah.

 

Kumpulan itu turut mengumumkan bahawa ia menerima kelulusan utama bersyarat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mengambil alih aset Telekosang Hydro (40MW) dan Jentayu Solar (5.99MW).

 

Mengulas tentang projek Oriole, Jentayu berkata ia menerima surat pemberitahuan awalan (ILON) daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS), yang menyediakan terma komersial dan teknikal indikatif utama untuk projek itu.

 

Pengerusi Eksekutif Jentayu, Datuk Beroz Nikmal Mirdin berkata, penerimaan ILON yang merupakan langkah penting dalam proses kelulusan keseluruhan, menunjukkan bahawa Kabinet Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju untuk menetapkan terma dan syarat utama terma teknikal dan komersial permulaan bagi projek Oriole.

 

“Memandangkan ia telah dikeluarkan, langkah seterusnya akan melibatkan rundingan dengan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk reka bentuk dan pembangunan projek Oriole.

 

“Kami juga akan memulakan kerjasama lebih erat dengan rakan kongsi kewangan dan pembiaya bagi mencapai penutupan kewangan projek ini dan memberi mandat kepada penasihat kewangan kami jika perlu.

 

 

Datuk Beroz Nikmal Mirdin
Datuk Beroz Nikmal Mirdin

 

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan bekerjasama rapat dengan ECOS untuk memuktamadkan kadar tarif tenaga dan parameter teknikal utama projek lain yang dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, cadangan pengambilalihan loji kuasa Telekosang Hydro dan Jentayu Solar termasuk bon junior yang diluluskan oleh SC menjadi pencapaian besar kumpulan untuk menjadi penggiat tenaga boleh diperbaharui yang utama.

 

Beroz Nikmal berkata, kelulusan bersyarat SC membuka jalan kepada Jentayu untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

 

Cadangan pengambilalihan aset hidro akan memberi Jentayu kawalan ke atas dua loji kuasa hidro sungai yang kini dikendalikan oleh Telekosang Hydro One Sdn Bhd dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd di Tenom, Sabah.

 

Cadangan pengambilalihan aset solar pula melibatkan Jentayu Solar Sdn Bhd yang kini mengendalikan loji tenaga solar di Pokok Sena, Kedah.

 

“Setelah selesai, pengambilalihan ini akan mewakili peningkatan besar kedudukan kewangan Jentayu, melengkapkan proses pemulihan kami dan meletakkan kami di jalan yang kukuh ke arah keuntungan,” kata Beroz Nikmal.

 

Setakat pukul 3:30 petang ini, saham Jentayu telah naik 0.5 sen atau 0.5% kepada RM1 dengan permodalan pasaran berjumlah RM438.9 juta. - DagangNews.com