Kapal Turkiye pilihan TLDM untuk projek LMS Batch 2, Mindef bakal putuskan syarikat yang terbaik | DagangNews Skip to main content

Kapal Turkiye pilihan TLDM untuk projek LMS Batch 2, Mindef bakal putuskan syarikat yang terbaik

Korvet C92 yang ditawarkan sebagai calon LMS Batch 2 kepada TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 4 Dis - Proses perolehan kapal misi pesisir kumpulan kedua (LMS Batch 2) hampir muktamad apabila Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan kapal buatan Turkiye menjadi pilihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Ini juga bakal menandakan terbentuknya satu kerjasama strategik yang baharu dalam industri pertahanan maritim antara kedua-dua negara.

 

Keputusan ini diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohammad Hassan yang menekankan pemilihan Turkiye bagi perolehan tiga LMS tersebut.

 

Menurut Menteri Pertahanan, Mindef menekankan bahawa limbungan kapal Turkiye mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan ketat pada kapal ini.

 

Kapal
Korvet kelas Ada.

 

Bagaimana pun, perolehanan bagi LMS Batch 2 akan dibuat menerusi kerajaan dengan kerajaan manakala limbungan kapal yang dipilih pula akan diumumkan kemudian.

 

Pemilihan limbungan perkapalan luar juga adalah bagi memastikan projek LMS Batch 2 tidak berhadapan dengan masalah khususnya kelewatan.

 

Fokus utama program ini adalah untuk mendapatkan sebuah LMS bersaiz korvet yang mampu melaksanakan operasi pelbagai dimensi.

 

Antaranya peperangan antipermukaan, pertahanan udara dan misi rondaan. 

 

Kapal
Kombinasi sistem persenjataan pada korvet Ada.

 

Seperti diketahui, perolehan LMS ada terkandung dalam pelan pemodenan 15 to 5 TLDM, cuma keperluan untuk mendapatkan kapal-kapal ini semakin penting disebabkan kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS).

 

Keperluan TLDM adalah untuk memiliki 18 buah LMS kesemuanya secara berperingkat-peringkat.

 

Empat buat LMS pertama TLDM dibina di China menerusi kerjasama dengan Boustead Naval Shipyard yang diberikan kontrak.

 

Mindef dijangka memulakan usaha perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 daripada lapan buah pada tahun ini dengan kos keseluruhan dijangka RM6.6 bilion.

 

Kapal
Turkiye berjaya membina kapal korvet untuk Ukraine.

 

Kapal
Pakistan juga memilih rekaan korvet Turkiye.

 

Lima buah lagi kapal-kapal LMS Batch 2 akan diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-13.

 

Pada peringkat penilaian difahamkan syarikat-syarikat perkapalan Turkiye telah mengetengahkan rekaan kapal masing-masing seperti STM dengan korvet kelas Ada, korvet Dearsan C92 dan TAIS Shipyard dengan OPV 92.

 

Pesaing lain dalam program LMS Batch 2 termasuklah Hyundai Heavy Industries (Korea Selatan) dengan rekaan HDF-2600 dan Damen (Belanda) dengan rekabentuk SIGMA.

 

Pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA 2023) pada Mei lalu, syarikat STM dilihat paling menonjol berbanding pesaing lain berdasarkan ruang pameran semasa itu.

 

Kapal
Kerjasama dimeterai antara STM dan TDM bagi program LMS dan MPMS Malaysia.

 

Sejak dua tahun lalu, STM giat menonjolkan rekabentuk korvet kelas Ada sebagai calon yang sesuai kepada TLDM.

 

Kapal korvet kelas Ada ini merupakan kapal korvet antikapal selam yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turkiye dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

 

Mengukuh lagi kecenderungan ini apabila STM semasa LIMA 2023 menandatangani memorandum kerjasama dengan Technology Depository Agency Berhad (TDA) Malaysia untuk dua projek LMS Batch 2 dan Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) termasuk pemindahan teknologi.

 

TDA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang mana fungsi teras TDA adalah untuk mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan Program Kerjasama Industri (ICP) di Malaysia.

 

Kapal

 

Kapal
LMS TLDM buatan China.

 

Ini untuk memastikan ia mematuhi proses dan keperluan seperti yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pengurusan (ICP) Malaysia.

 

Pada Julai lalu, delegasi Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) juga telah mengadakan kunjungan ke Istanbul, Turkiye bagi meneroka kerjasama industri antara kedua-dua negara.

 

Lawatan itu menerusi inisiatif Kolaborasi Program Teknologi Malaysia-Turkiye (Aeroangkasa serta Pembinaan dan Pembaikan Kapal atau SBSR). 

 

Langkah seterusnya adalah terpulang kepada penilaian Mindef dan TLDM untuk memutuskan kapal serta limbungan terbaik di Turkiye bagi menyiapkan LMS Batch 2.- DagangNews.com