KUALA LUMPUR 16 Mei - Pemegang saham Axiata Group Berhad mempunyai kebimbangan terhadap potensi sinergi bagi penggabungan XL Axiata dengan Smartfren kerana syarikat Indonesia itu beroperasi pada skala lebih kecil dan mencatat antara purata setiap pengguna (ARPU) terendah dalam pasaran.
Sehubungan itu, kata RHB Investment Bank, tumpuan utama sepatutnya diberikan kepada rasional transaksi yang kukuh iaitu penjelasan mengapa transaksi ini adalah dalam kepentingan terbaik bagi semua pihak berkepentingan.
"Berdasarkan angka pro-forma, penggabungan ini akan menyebabkan perolehan menyusut dalam jangka sederhana (Smartfren mencatat kerugian) jika tiadanya sinergi.
"Tambahan lagi, ia akan merendahkan hasil dan jurang bahagian pasaran pelanggan daripada kedudukan ketiga kepada sekitar 27% dan 24% (langanan melebihi 94j).
"Kedudukan ini mengekori hasil sekitar 28% dan bahagian langganan (99 juta langganan) yang direkodkan oleh Indosat, iaitu pengendali telko kedua terbesar," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan Axiata dan Sinar Mas tandatangani MOU teroka penggabungan XL Axiata dan Smartfren di Indonesia
Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, XL Axiata (EXCL) buat masa ini memiliki spektrum berpasangan 90MHz dalam frekuensi 900/1800/2100MHz manakala Smartfren memiliki 62MHz (800MHz/2300Mhz).
"Menurut sumber industri, kami dapati bahawa pihak kerajaan/badan pengawal selia mungkin membenarkan spektrum yang dimiliki dikekalkan jika entiti yang bergabung itu meluaskan liputan di kawasan luar bandar/di luar wilayah Jawa.
"Jika EXCL dapat mengekalkan spektrum Smartfren, jumlah spektrum keseluruhan yang ia miliki akan mencecah 34%, sekali gus merapatkan jurang perbezaan dengan Telkomsel dan Indosat, yang memiliki gabungan sebanyak 66% daripada hak spektrum yang diberikan," kata RHB Investment.
ARTIKEL BERKAITAN Axiata mohon kelulusan kerajaan Indonesia bergabung dengan PT Sinar Mas
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI dengan harga sasar (TP) mencecah RM3.40 (SOP), potensi kenaikan 20% dan kadar hasil dividen sekitar 4%.
Kata RHB Investment, Axiata Group sedang menjalankan perbincangan tanpa ikatan undang-undang dengan Sinar Mas Group untuk sebarang kemungkinan usaha penggabungan diusahakan dengan syarikat mudah alih Indonesia tersebut.
"Konsolidasi sepatutnya membawa kepada tingkah laku pasaran yang lebih sihat, walaupun penjelasan yang jelas tentang rasional dan sinergi diperlukan untuk mendorong peningkatan nilai, mengingat kelemahan Smartfren, menurut pandangan kami.
"Kami menyukai Axiata atas faktor pemulihan perolehan dan keadaan kunci kira-kiranya yang kurang bebanan hutang," ujar firma itu.
Tambah RHB Investment, pemeteraian MoU antara kedua-dua pihak mengesahkan sesi perbincangan pasaran sebelum ini dengan laporan media melaporkan pihak Axiata sedang menunggu kelulusan daripada Kerajaan untuk meneruskan usaha penggabungan terbabit ke fasa seterusnya.
"Buat masa ini, urus niaga masih berada pada peringkat permulaan tanpa sebarang kepastian jelas bahawa perjanjian ini akan diikat dengan rasminya.
"Perkembangan selanjutnya berhubung urus niaga ini akan tertakluk kepada usaha wajar, persediaan pelan perniagaan bersama, persetujuan syarat-syarat perjanjian, pemeteraian perjanjian muktamad, dan penerimaan semua sijil kelulusan yang diperlukan," katanya. - DagangNews.com