KUALA LUMPUR 16 Mei - Kerungsingan pengguna Malaysia apabila subsidi bahan api dipotong oleh kerajaan dan perbelanjaan pengguna yang lemah akibat inflasi menyebabkan Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Aeon (M) Berhad.
Walau bagaimanapun, kata firma penyelidikan itu, kenaikan gaji lebih 1 juta penjawat awam sebanyak 13% mulai Disember 2024 sepatutnya memulihkan sebahagian kuasa perbelanjaan pengguna.
"Jualan Aeon untuk 1QFY24 melebihi jangkaan disebabkan oleh jualan musim perayaan yang lebih kukuh daripada yang dijangka.
"Kami berpendapat bahawa kesan inflasi yang tinggi yang berterusan terhadap perbelanjaan pengguna boleh dikurangkan sebahagiannya oleh kenaikan gaji yang besar bagi penjawat awam pada Disember 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, Kenanga Research meningkatkan anggaran pendapatan FY24-25F Aeon masing-masing sebanyak 6%.
Firma penyelidikan itu juga meningkatkan harga sasaran sebanyak 20% kepada RM1.21 daripada RM1.01 dan meningkatkan saranan kepada MARKET PERFORM daripada UNDERPERFORM.
"Risiko ke atas pendapatan dikurangkan dengan pemulihan sebahagian kuasa beli pengguna melalui kenaikan gaji penjawat awam," jelasnya.
Sementara itu, RHB Investment tetap kekal berjaga-jaga kerana persaingan dalam industri peruncitan amat sengit di samping tekanan inflasi berlarutan yang mampu menjejaskan perbelanjaan bukan keperluan.
Kata firma penyelidikan itu, jualan 1Q24 Aeon menokok 13% akibat peningkatan perbelanjaan musim perayaan yang menyaksikan untung bersih suku itu melambung naik 76.4% QoQ kepada RM57.5 juta.
Namun jelasnya, dalam masa yang terdekat jualan dijangka merosot akibat beberapa faktor bermusim selepas ia berjaya mencatat prestasi kukuh pada 1Q lepas.
"Melepasi tempoh tersebut, pihak pengurusan tetap mengambil langkah berhati-hati akan tekanan inflasi meninggi dan pelaksanaan subsidi bersasar yang mampu menjejaskan perbelanjaan pengguna.
"Maka, AEON berhasrat untuk mengekalkan usaha pemasarannya dengan teguh dan menawarkan diskaun jualan murah supaya dapat menggalakkan pengguna untuk berbelanja dengan lebih.
"Seterusnya, melihat keadaan industri penuh berdaya saing dan ketepuan dalam perniagaan runcit, syarikat ini akan menumpu pada usaha pengubahsuaian pusat beli-belah miliknya bagi mempertingkatkan pengalaman pengunjung selain memperhebat daya saingnya," ujarnya.
Kata RHB Investment, pada masa hadapan, Aeon merancang untuk melancarkan sebuah pusat beli-belah baharu di KL MidTown pada FY25-26.
"Pusat beli-belah itu menyasarkan golongan pengguna berpendapatan pertengahan hingga tinggi dengan menampilkan konsep beli-belah bertaraf mewah," katanya.- DagangNews.com