Keyfield lapor untung bersih FY23 meningkat 115.7% didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Keyfield lapor untung bersih FY23 meningkat 115.7% didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 April - Keyfield International Berhad mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM105.5 juta untuk tahun kewangan 2023 (FY2023), meningkat 115.7% berbanding FY2022 sebanyak RM48.87 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Keyfield berkata, pendapatan bagi FY2023 pula meningkat 82.2% iaitu sebanyak RM430.5 juta daripada RM236.2 juta.

 

Katanya, ini didorong pertambahan bilangan kapal sendiri selain kadar penggunaan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 78.8% pada 2023 berbanding 65.7% pada FY2022 untuk kapal sendiri.

 

"Bilangan hari carter juga lebih tinggi untuk kapal pihak ketiga dan purata DCR (kadar pajakan harian) yang lebih tinggi yang dicapai pada FY2023," katanya dalam laporan kewangan interim suku keempat 2023 (4Q2023).

 

Keyfield melalui anak syarikatnya terlibat dalam penyewaan kapal penginapan miliknya dan juga pihak ketiga sambil menyediakan pelbagai perkhidmatan atas kapal termasuk penginapan, sajian makanan, pengemasan, dobi dan sokongan perubatan.

 

Sehingga akhir Februari 2024, kumpulan itu memiliki 11 kapal penginapan di mana lapan daripadanya adalah kapal penginapan berenjin (AWB), dua adalah kapal penginapan yang lebih kecil dan satu adalah kapal penginapan tanpa enjin (WB).

 

Sementara itu, Kumpulan mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM119.5 juta pada 4Q2023, iaitu peningkatan sebanyak RM51.9 juta atau 76.8% berbanding hasil RM67.6 juta pada 4Q2022. 

 

Menurut Keyfield, peningkatan pendapatan itu disumbangkan oleh hasil daripada kapal sendiri dan kapal pihak ketiga.

 

"Jumlah keuntungan kasar kami bagi 4Q2023 ialah RM45.8 juta, peningkatan sebanyak RM17.3 juta atau 60.5% berbanding tempoh yang sama sebelumnya," jelasnya.

 

Kumpulan itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 22 April 2024 dengan bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) terlebih langganan 9.68 kali.

 

Menurut PublicInvest, antara kekuatan daya saing Keyfield adalah kedudukannya sebagai pengendali kapal berlesen Petronas dari Malaysia, pengkhususan dalam kemudahan penginapan luar pesisir dan memiliki armada kapal dengan kapasiti serta ciri penginapan yang berbeza.

 

Turut disenaraikan sebagai daya saing Keyfield ialah meiliki sebuah kapal penginapan yang agak baru dan serba lengkap; penggajian anak kapal secara kontrak; akses kepada rangkaian pemilik kapal dan pasukan pengurusan yang berpengalaman dan berdedikasi.- DagangNews.com