KUALA LUMPUR 5 Feb - Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) bakal menyerahkan kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dinaik taraf di limbungan syarikat itu di Langkawi, Kedah.
Kapal ronda KM Siangin dijadualkan dihantar kembali kepada agensi berkenaan pada 7 Februari ini.
Kerja-kerja tersebut berjaya disempurnakan oleh anak syarikat LUNAS, Boustead Langkawi Shipyard Sdn Bhd (BLS) yang terletak di Bukit Malut.
Kapal kelas Ramunia sepanjang 32.4 meter (m) ini mula digunakan APMM pada 2006 yang dulunya milik Kastam Diraja Malaysia.
Siapnya kerja-kerja naik taraf ini membolehkan aset dioperasikan kembali dengan prestasi yang lebih baik.
LUNAS yang sebelumnya Boustead Naval Shipyard (BNS) telah diberikan kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset-aset APMM ini tahun lalu melibatkan bot dan kapal peronda.
Selain KM Siangin, aset APMM lain yang diberikan kontrak kepada BLS membabitkan dua bot pemintas kelas Penggalang manakala kapal ronda pula ialah KM Tenggol, KM Kimanis dan KM Langkawi.
Kerjasama tersebut telah menunjukkan hasil yang positif apabila diselesaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
Ini mempamerkan kebolehan LUNAS untuk kekal bersaing dalam industri maritim khususnya MRO melibatkan aset-aset agensi keselamatan negara.
Terdahulu, satu sesi lawatan ke limbungan BLS di Langkawi telah diadakan oleh delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) diketuai Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.
Semasa lawatan kerja rasmi itu, beliau turut dibawa meninjau progres naik taraf kapal ronda KM Siangin serta diberi penerangan tentang kemudahan sedia ada.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan, Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat serta pengurusan kanan BLS. - DagangNews.com