MAIDAM Property Sdn Bhd teroka perniagaan baharu sebagai ejen Hong Leong MSIG Takaful | DagangNews Skip to main content

MAIDAM Property Sdn Bhd teroka perniagaan baharu sebagai ejen Hong Leong MSIG Takaful

Perniagaan Maidam Gold dan Ar Rahnu antara penyumbang terbesar pendapatan Maidam Property
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 10 Mei - Maidam Property Sdn Bhd (MPSB) anak syarikat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kini meneroka perniagaan baharu sebagai ejen insurans bagi produk Hong Leong MSIG Takaful.

 

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, keputusan itu dibuat kerana perniagaan sebagai syarikat perunding atau ejen takaful amat berpotensi, berdaya maju dan berdaya kekal.

 

Menurutnya, langkah yang diambil oleh pengurusan MAIDAM untuk menceburi bidang insurans itu akan memberi peluang kepada orang ramai di Terengganu untuk membuat pilihan terbaik dalam mendapatkan khidmat perlindungan takaful. 

 

 

Shaikh Harun Shaikh Ismail
                                     Shaikh Harun Shaikh Ismail

 

 

"Malah, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyakkan produk yang mematuhi hukum syarak.

 

"Antara keutamaan kita ialah untuk menyediakan perlindungan takaful kepada MAIDAM dan juga anak-anak syarikat MAIDAM iaitu MPSB sendiri dan Yayasan Pendidikan MAIDAM. 

 

"Perkara ini tidak boleh dipandang remeh, terutamanya bagi bisnes Ar-Rahnu MAIDAM dan kedai emas MAIDAM Gold yang setiap hari terlibat dengan transaksi emas bernilai tinggi yang terdedah kepada pelbagai jenis risiko," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) perniagaan takaful antara MPSB, Grand Gosh (M) Sdn Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad di sini hari ini. 

 

Antara pelan Takaful yang disediakan Hong Leong untuk Maidam Property ketika ini ialah i-Flexi Protect, i-Heritage Protector, i-Kudrat, i-Care Hasanah Privilege dan i-AcciPlus.

 

 

maidam

 

 

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, MPSB juga akan merancang satu produk takaful yang khusus kepada warga kakitangan MPSB untuk memberi manfaat optimum kepada kakitangan syarikat.

 

"Kerjasama strategik yang terjalin ini diharap dapat membantu MAIDAM membangunkan dana untuk kemajuan, kebaikan dan kesejahteraan masyarakat Islam di negeri Terengganu  khususnya para pembayar zakat dan pewakaf," katanya.

 

Tambahnya, pada tahun ini, Maidam Property telah memperuntukkan sebanyak RM262,500 bagi membiayai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di seluruh Terengganu.

 

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM62,500 daripadanya adalah untuk untuk skim bantuan asnaf fakir dan miskin.

 

"Selain itu, pihak syarikat juga  giat mempelbagaikan aktiviti CSR untuk pembangunan masyarakat khususnya umat Islam di Terengganu, antaranya agihan tong jenama ACGAS kepada asnaf di Pulau Redang, agihan bantuan tunai kepada usahawan asnaf dan misi bantuan banjir," katanya. - DagangNews.com