Malaysian Genomics, KL City FC bekerjasama tingkatkan prestasi pemain menerusi pemeriksaan genetik | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics, KL City FC bekerjasama tingkatkan prestasi pemain menerusi pemeriksaan genetik

Giancarlo Gallifuoco beraksi ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super Malaysia pada 25 Februari 2023. - Gambar Facebook Kuala Lumpur City
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd mengadakan kerjasama dengan KL City FC Sdn Bhd berkaitan penggunaan ujian saringan genetik kumpulan untuk sukan berprestasi tinggi.

 

Kerjasama itu menyaksikan kumpulan menjalankan analisis DNA pemain dan menyediakan perundingan kepada pemain dan kakitangan kejurulatihan mengenai keputusan genetik berhubung peluang praktikal untuk meningkatkan fisiologi sukan, pemakanan, kekuatan dan penyesuaian, pencegahan kecederaan dan pemulihan. 

 

KLCFC akan berkongsi maklum balas dengan kumpulan berkaitan keputusan dan hasil pengubahsuaian kepada protokol latihan, pemakanan dan pemulihan sedia ada pasukannya selepas penggabungan keputusan genetik.

 

Ketua Projek Khas dan Kualiti Malaysian Genomics, Dr Nurul Aqma Anis berkata, pihaknya telah mula menawarkan ujian saringan genetik pada 2012.

 

Katanya, Malaysian Genomics ialah syarikat DNA yang paling mantap di Asia Tenggara dan ujian genetik pihaknya untuk prestasi olahraga puncak adalah salah satu terkini dalam portfolio ujiannnya.

 

"Bekerjasama dengan pasukan profesional seperti KLCFC boleh memantau kesan dan hasil pengesyoran berasaskan genetik untuk latihan dan pemulihan olahraga, memastikan ujian genetik kami dan pengesyoran yang terhasil menawarkan maklumat serta faedah praktikal untuk atlet profesional dengan aksi perlawanan hujung minggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

mgrc
                                            Dr Nurul Aqma Anis

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KLCFC, Stanley Bernard Stephan Samuel menyifatkan, atlet terkemuka berada pada kelebihan daya saing dalam sukan profesional justeru maklumat yang diperoleh daripada ujian genetik secara langsung akan membantu atlet memahami diri mereka dengan lebih mendalam dalam matlamat mencapai tahap prestasi optimum.

 

 

KL
                                                            Stanley Bernard Stephan Samuel

 

 

Pemain pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco pula berkata, beliau kagum dengan pelbagai maklumat yang dijana dalam laporan saringan genetik dirinya daripada Malaysian Genomics.  

 

“Hanya dalam semakan pertama laporan saya, pasukan Malaysian Genomic dapat mengenal pasti perubahan yang praktikal dan boleh diambil tindakan segera pada rejim suplemen saya serta latihan memanaskan badan, yang saya tidak tahu untuk melakukan tanpa ujian ini. 

 

 

KL
Giancarlo Gallifuoco (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin (kiri) dan Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Datuk Alvin Joseph Nesakumar (kanan).

 

 

"Saya tidak sabar untuk merasai kesan positifnya terhadap saya di atas padang,” katanya. - DagangNews.com