MASMED sediakan dana biaya lahirkan usahawan dalam kalangan siswa UiTM | DagangNews Skip to main content

MASMED sediakan dana biaya lahirkan usahawan dalam kalangan siswa UiTM

Oleh SITI HAFSAH ZULKARNAIN

 

 

DENGAN perkembangan teknologi dalam era pembangunan pada masa kini memberi kesan secara tidak langsung kepada sektor perniagaan.

 

Penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi utama dalam  masyarakat menjadikan corak perniagaan dan pemasaran juga turut berubah secara digital yang dijalankan secara atas talian.

 

Ini selaras dengan hasrat untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti terkemuka di dunia dengan melahirkan graduan berciri keusahawanan dan usahawan siswazah yang kompetitif dan lestari sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025.

 

Dengan kewujudan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) sebagai pusat pembangunan usahawan dalam kalangan mahasiswa UiTM turut memikul tanggungjawab utama dalam merealisasikan hasrat universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melahirkan usahawan dengan DNA UiTM.

 

Mahasiswa yang terlibat juga turut didedahkan dengan model perniagaan yang berteraskan inovasi dan teknologi dalam aspek pengurusan, pemasaran dan penghasilan produk. Ini selaras dengan petunjuk prestasi yang disasarkan oleh KPT iaitu 17% graduan UiTM bergelar usahawan apabila mereka menamatkan pengajian kelak. 

 

Pelbagai program dan inisiatif yang dirancang oleh MASMED melibatkan mahasiswa yang menjalankan perniagaan di seluruh sistem UiTM termasuk kampus-kampus cawangan seluruh negara.

 

Satu daripada program yang baharu sahaja dilancarkan oleh pihak MASMED adalah program UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) yang melibatkan mahasiswa yang berprestasi tinggi dalam bidang akademik dan mempunyai model perniagaan yang berpotensi untuk digilap oleh mentor terpilih yang merupakan usahawan berjaya dikalangan Alumni UiTM.

 

Antara langkah agresif yang dilaksanakan oleh MASMED bagi melahirkan usahawan bumiputera dalam kalangan mahasiswa adalah dengan memperkasakan sistem sokongan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan keusahawanan agar mahasiswa mampu menjana peluang pekerjaan melalui aktiviti keusahawanan.

 

Pihak fakulti juga boleh mengenal pasti kursus pengajian yang dapat menawarkan khidmat pelajar (job creator) kepada masyarakat dengan bayaran yang berpatutan. Antaranya seperti khidmat fisioterapi, terjemahan bahasa, reka bentuk grafik, penyediaan makanan, jahitan dan lain-lain.

 

Bagi menarik minat mahasiswa menjalankan perniagaan, MASMED juga menyediakan dana melalui Tabung Keusahawanan Siswa sebagai modal awal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan jumlah bayaran ansuran balik yang rendah dan tanpa faedah.

 

 

masmed

 

 

Tambahan juga, MASMED telah menjalinkan usahasama dengan pelbagai pihak bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti.

 

Perjanjian persefahaman yang telah termeterai antara UiTM dan rakan perniagaan strategik melalui Shopee UiTM eMall, Simplysiti Elit Student Program, Nescafe Youth Entrepreneurship Program dan banyak lagi.

 

Inisiatif ini dilihat sebagai platform permulaan dalam pelaksanaan aktiviti keusahawanan di dalam kampus bagi melahirkan mahasiswa dan alumni yang aktif dalam menjalankan perniagaan semasa pengajian dan akhirnya menjadi kerjaya pilihan selepas tamat pengajian kelak. - DagangNews.com

 

 

uitm
Sr. Ts. Siti Hafsah bt Zulkarnain
Pengarah
Pusat Keusahawanan Mahasiswa
Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED)
Universiti Teknologi MARA
40450 Shah Alam, Selangor