Menghalusi urus niaga £385 juta Nike ke atas Liverpool | DagangNews Skip to main content

Menghalusi urus niaga £385 juta Nike ke atas Liverpool

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SATU model perniagaan yang menjadi sumber kewangan besar bagi kelab-kelab bolasepak ialah penajaan jersi oleh pengeluar pakaian sukan global. Ini kerana semua tahu para penyokong kelab akan memperagakan jersi kelab kesayangan masing-masing baik di peringkat kelab Liga Perdana Malaysia atau antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris dan Eropah yang lain.

 

Sebagai penyokong tegar Liverpool, Merrepak hari ini akan memberi fokus kepada Juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/2020 ini. Jangan bimbang, kita tidak akan sentuh kelab lain kerana ada banyak masa lagi untuk berbuat demikian pada masa-masa mendatang.

 

LFC
Liverpool, juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/2020.

 

Kebanyakan penyokong Liverpool mengikuti dengan rapat dan tahu bagaimana perebutan berlaku antara pengeluar peralatan sukan berjenama New Balance dengan Nike akhirnya terpaksa diputuskan di mahkamah.

 

Hakim menyebelahi Nike atas faktor pengurusan kelab sendiri mahukan Nike yang menjanjikan pulangan lebih besar bagi setiap jualan barangan Nike yang menggunakan nama Liverpool. Hujah New Balance hanyalah ia sepatutnya diberi hak untuk menyaingi apa yang ditawarkan oleh Nike. Sayang semuanya, sudah terlambat.

 

bola
Menteri Besar Selangor, bersama CEO Al-Ikhsan, Vach Pillutla pada majlis pelancaran jersi baharu Liverpool keluaran Nike di Petaling Jaya, baru-baru ini.

 

Baru-baru ini, satu kaji selidik global mengenal pasti Nike sebagai jenama barangan sukan paling berdaya pasaran di dunia sekarang. Dalam bahasa mudah, Nike boleh keluarkan apa sahaja produk, orang akan membelinya berbanding produk serupa keluaran jenama lain.

 

Syarikat yang bermula di Oregon, Amerika Syarikat itu berada di kedudukan pertama senarai 50 Jenama Paling Berdaya Pasaran di Dunia oleh firma SportsPro.

 

Nike, yang memiliki lebih 11,000 atlet dan organisasi sukan (termasuk Liverpool) yang mempromosikan jenamanya di seluruh dunia. Malah pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk – menerima undi entiti pelaburan `paling bernilai’ dalam penajaan sukan, mendahului Emirates Airlines, Adidas, dan Red Bull.

 

Berdasarkan data dari SportsGraph kelolaan Hookit, yang mengkaji nilai penajaan dengan menjejak aktiviti media sosial setiap atlet, pasukan atau liga utama yang memiliki lebih 500,000 akaun, mendapat Nike muncul di tempat teratas, jauh mengatasi syarikat penerbangan Emirates.

 

Hampir 12,000 promoter dalam talian telah menyaksikan Nike menjalankan keterlibatan media sosial dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih £385 juta (RM2.6 bilion), dengan lebih 5.5 bilion menerusi semua platform media sosial antara Ogos 2019 dan 2020.

 

"Bagi senarai tersebut, semua perutusan di media sosial dan digital oleh atlet profesional, pasukan dan liga antara 1 Ogos 2019 dan 1 Ogos 2020 telah disemak bagi promosi jenama,” menurut SportsPro.com.

 

"Lebih 25,000 organisasi sukan dan atlet membuat pernyataan dalam media sosial sepanjang tempoh itu, mempromosikan lebih daripada 7,000 jenama di Facebook, Instagram, TikTok, Twitch, Twitter, VK, Weibo dan YouTube."

 

Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Hookit, Scott Tilton berkata, jenama di dalam senarai ini faham bahawa promosi sosial dan digital merupakan teras utama di dalam strategi penajaan dan mereka membina daripada keaktifan tersebut sebagai elemen utama bagi perjanjian penajaan mereka.

 

"Kami menjangkakan penekanan di dalam promosi digital akan terus tumbuh disebabkan oleh impak coronavirus dan keupayaan rakan-rakan sukan untuk secara langsung mempengaruhi nilai mereka kepada para penaja menerusi saluran media sosial mereka yang luas.”

 

Angka-angka itu akan terus dibuktikan apabila urus niaga Liverpool dan Nike berjalan sekarang dan terbukti sebagai pilihan tepat ketika pertumbuhan pasukan sebagai pasukan digeruni terus berjalan lancar di bawah kendalian Jurgen Kloop, seiring dengan pertumbuhan komersial kelab.

 

Pada asalnya, kontrak Liverpool dan Nike patut bermula pada 1 Jun tetapi liga digantung sekejap ekoran merebaknya COVID-19 di United Kingdom dan musim baharu hanya bermula Ogos lalu.

 

Dengan acara gilang gemilang bagi memperkenalkan jersi baru Liverpool keluaran Nike diadakan di seluruh dunia termasuk di Malaysia di mana syarikat tempatan Al-Ikhsan Sports memegang hak bersama Nike untuk menjual barangan Liverpool, mengadakan acara khas bersama kelab penyokong termasuk All Reds Malaysia di ibu negara.

 

ARM
Ahli-ahli All Reds Malaysia bergambar pada majlis pelancaran jersi baharu LFC keluaran Nike di Malaysia, baru-baru ini.

 

Ramai yang menyifatkan reka bentuk ketiga-tiga jersi Liverpool untuk perlawanan padang sendiri, padang lawan dan Eropah adalah mengagumkan. Jualannya juga diunjurkan tinggi seiring dengan minat besar penggemar bolasepak di seluruh dunia terhadap skuad bimbingan Klopp ini.

 

Malah, akhbar Liverpool Echo baru-baru ini melaporkan jualan secara dalam talian dan kedai khusus barangan kelab meningkat lebih 15% bagi jersi merah Liverpool dan 30% bagi jersi untuk padang lawan.

 

Selepas acara pengenalan jersi baharu, bintang bola kerajaan yang juga pemegang saham minoriti Liberpool, LeBron James menyiarkan gambarnya memakai jersi tersebut di dalam halaman media sosialnya, sekali gus melonjakkan lagi profil dan minat terhadap kelab di seluruh dunia dan khususnya, Amerika Syarikat.

 

lebron
LeBron James memakai jersi baharu Liverpool musim 2020/21 dan disiarkan di dalam Twitter rasmi LA Lakers.

 

Pemain kelab Los Angeles Lakers itu juga dikaitkan dalam penghujahan mahkamah oleh Nike sebagai antara bintang tajaannya yang boleh meningkatkan lagi nilai penajaan Nike dengan Liverpool.

 

Secara peribadi, saya agak tertewas disebabkan oleh penetapan harga barangan Nike di Malaysia. Berpandukan harga asal dalam Pounds Sterling di kedai rasmi Liverpool, ia menjadi sangat premium bila ditukar kepada Ringgit Malaysia.

 

Sementara saya berazam untuk mengumpul duit dahulu supaya boleh memiliki sekurang-kurangnya sehelai, tidak semua akan dapat melakukan perkara serupa lebih-lebih lagi dalam ekonomi dunia yang tidak menentu akibat pandemik ini.

 

Oleh kerana isu baju tiruan seakan begitu berleluasa di Malaysia, ia adalah pilihan utama kalangan peminat kelab bola sepak yang tidak mungkin bersedia membelanjakan hampir RM300 sehelai berbanding RM60 bagi baju tiruan.

 

Soal baju tiruan kita cerita dalam keluaran lain. Hari ini Nike dan Al-Ikhsan kena fikirlah bagaimana cara terbaik untuk menurunkan harga barangan tulen supaya peminat yang tidak mampu terpaksa beralih kepada barangan tiruan. Itu sahaja.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Ekonomi Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu King of Wishful Thinking oleh Go West berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.