MIDF Research turun taraf saranan Axiata kepada Jual susulan penggabungan unit di Indonesia | DagangNews Skip to main content

MIDF Research turun taraf saranan Axiata kepada Jual susulan penggabungan unit di Indonesia

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Mei - MIDF Research menyemak turun taraf saranan untuk Axiata Group kepada Jual (Trading Sell) daripada Neutral sebelum ini susulan kemungkinan penggabungan antara XL Axiata dan Smartfren. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun transaksi tersebut mungkin mengukuhkan bahagian pasaran pelanggan XL Axiata, namun wujud kebimbangan kepada kedudukan Smartfren yang dalam kerugian. 

 

"Selain itu, jika pembiayaan melibatkan tunai, ia akan menambah beban pada lembaran kewangan kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini sambal memaklumkan saranan Trading Sell saham Axiata dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM2.42 sesaham.

 

Menurut panduan MIDF Research, Trading Sell merujuk harga saham dijangka jatuh lebih dari 10% dalam tempoh 3 bulan selepas penarafan diberikan disebabkan oleh aliran berita negatif.

 

Axiata Group dan kumpulan PT Sinar Mas Indonesia dilaporkan telah meminta kebenaran daripada kerajaan Indonesia untuk menggabungkan unit telco mereka, kata menteri komunikasi kepada Reuters.

 

Penggabungan unit Indonesia yang dirancang mereka, PT XL Axiata dan PT Smartfren Telecom akan terus menyatukan syarikat dalam sektor telekomunikasi kepada hanya tiga pemain besar, kata Budi Arie Setiadi dalam satu temu bual.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Axiata mohon kelulusan kerajaan Indonesia bergabung dengan PT Sinar Mas

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, mereka tidak begitu terkejut dengan perkembangan penggabungan unit Axiata dan PT Sinar Mas.

 

Firma penyelidikan itu mendakwa mereka memperoleh maklumat yang Axiata dan PT Sinar Mas telah berbincang mengenai penggabungan unit  itu sejak tahun 2021. 

 

"Pada masa kini, XL Axiata merupakan syarikat telekomunikasi ketiga terbesar di Indonesia dengan 58 juta pelanggan. 

 

"Sementara itu, jumlah pelanggan Smartfren adalah kira-kira 36 juta. Sekiranya penggabungan berlaku, asas pelanggan XL Axiata akan meningkat kepada 94 juta. 

 

"Walaupun begitu, ini tidak akan mencukupi untuk menyaingi dua syarikat telekomunikasi teratas di negara tersebut iaitu Telkomsel (pelanggan: 153 juta) dan Indosat (pelanggan: 100 juta)," jelasnya.

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, keuntungan bagi XL Axiata akan menjadi kebimbangan kerana terdapat maklumat bahawa Smartfren mengalami kerugian. 

 

"Merujuk kepada laporan tahunan Smartfren bagi tahun 2023, kumpulan tersebut mengalami kerugian bersih sebanyak -IDR108.9 bilion (-RM32.2 juta). 

 

"Ini berpotensi mempengaruhi keuntungan XL Axiata, terutamanya dalam jangka masa terdekat. Pada nota yang lain, Axiata menyelesaikan pembelian Link Net pada tahun 2022. 

 

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa penggabungan yang dijangkakan dengan Smartfren akan mencipta lebih banyak tekanan kepada pengurusan untuk meningkatkan keuntungan XL Axiata," ujarnya.- DagangNews.com