MKH Oil Palm sasar jana RM136.4 juta daripada IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

MKH Oil Palm sasar jana RM136.4 juta daripada IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd (MKHOP) menyasarkan untuk menjana RM136.4 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 30 April 2024.

 

IPO yang berharga 62 sen sesaham itu termasuk terbitan 220 juta saham baharu, mewakili 21.5% daripada modal saham syarikat yang diperbesarkan serta tawaran untuk jualan sejumlah 30.7 juta saham sedia ada, yang membentuk 3% daripada saham diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 220 juta saham baharu itu, 51.21 juta saham akan dibuka untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia, manakala baki 168.79 juta saham baharu diketepikan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Permohonan untuk IPO tersebut akan ditutup pada 16 April 2024.

 

Syarikat itu merancang untuk menggunakan RM42 juta atau 30.8% daripada hasil IPO untuk memperoleh tanah bagi perladangan kelapa sawit di wilayah Kalimantan Timur.

 

Selain itu, RM9 juta atau 6.6% daripada hasil IPO akan diperuntukkan untuk mewujudkan kemudahan penghancuran isirung sawit bagi menambah sumber pendapatan syarikat.

 

Kumpulan itu juga akan menggunakan RM42 juta atau 30.8% daripada jumlah hasil itu untuk perbelanjaan modal untuk tanah ladang sedia ada, membaik pulih dan/atau menyelenggara kilang kelapa sawit sedia ada, membaik pulih kuarters perumahan pekerja, dan membesarkan bekalan elektrik.

 

MKH Oil Palm turut memperuntukkan RM33 juta atau 22% untuk membayar balik hutang pinjaman dan baki RM13.4 juta atau 9.8% bagi modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengerusi MKH Oil Palm, Tan Sri Datuk Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata dana yang diperoleh daripada IPO itu akan memacu strategi pertumbuhannya, khususnya dalam mengembangkan bank tanah perladangannya.

 

"Peluasan ini memerlukan perolehan tanah bersebelahan dengan ladang semasa untuk memanfaatkan kemudahan pemprosesan dan jeti sedia ada. Kami juga akan melabur dalam mesin dan peralatan baharu untuk meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan keupayaan pemprosesan, dan meluaskan penawaran produk kami," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu. Kenanga Investment Bank pula merupakan penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama, manakala AmInvestment Bank ialah ejen penempatan bersama. - DagangNews.com