Nestcon peroleh kontrak RM251.5 juta bagi pembangunan bercampur di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Nestcon peroleh kontrak RM251.5 juta bagi pembangunan bercampur di Kuala Lumpur

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Nestcon Berhad telah memperoleh kontrak bernilai RM251.5 juta bagi pembangunan bercampur di Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu berkata anak syarikatnya, Nestcon Builders Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Altimas Sdn Bhd.

 

Ini melibatkan pelaksanaan kerja-kerja bangunan utama bagi cadangan pembangunan bercampur, dua apartmen dengan kemudahan, tempat letak kereta dan kedai yang akan dibina di Taman Kuchai Jaya, Petaling.

 

Nestcon berkata kontrak berkenaan dijangka siap dalam tempoh 34 bulan bermula 3 Januari 2024 sehingga 2 November 2026 atau dalam tempoh lanjutan seperti termaktub dalam syarat kontrak.

 

“Penerimaan LOA oleh Nestcon Builders untuk melaksanakan kerja kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan syarikat sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

 

Syarikat itu berkata ia tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan LOA, namun ia akan mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko apabila ia berlaku.

 

Saham Nestcon ditutup tidak berubah pada 37.5 sen hari ini dengan permodalan pasarannya berjumlah RM255.8 juta. - DagangNews.com