KUALA LUMPUR 14 Mei - P.A. Resources Berhad, syarikat penyemperit (extruder) aluminium mencatat penurunan hasil RM12.9 juta atau 8.6% daripada RM150.7 juta kepada RM137.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (Q3FYE2024) berbanding Q2FYE2024.
Penurunan tersebut disebabkan terutamanya ketiadaan pesanan jualan berjumlah RM24.0 juta daripada pelanggan tempatan.
Bagaimanapun, penurunan ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan RM14.0 juta dalam jualan eksport.
Margin keuntungan kasar kekal stabil pada 14.9% untuk kedua-dua suku semasa dan sebelumnya. Keuntungan selepas cukai (PAT) juga telah meningkat sebanyak RM1.1 juta atau 9.5% kepada RM12.4 juta.
Bagi 9 bulan terkumpul (9MFYE2024), hasil meningkat sebanyak RM60.9 juta atau 17.1% kepada RM417.8 juta berbanding 9MFYE2023.
PAT mencecah RM32.4 juta, menandakan peningkatan sebanyak 15.8%. PAT 9MFYE2024 telah melepasi keputusan tahun penuh FYE2023.
Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, pencapaian luar biasa ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan syarikat ini ke arah pertumbuhan dan keuntungan yang mampan.
"Dengan melepasi keputusan tahun penuh FYE2023 dalam sembilan bulan tahun fiskal semasa, kami sekali lagi menunjukkan bahawa kami terus menambah baik dan menyampaikan nilai kepada pemegang saham kami.
"Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan dalam pesanan daripada pelanggan kami. Sasaran global untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 mendorong permintaan untuk tenaga boleh diperbaharui.
"Semasa kita bergerak ke hadapan, P.A. bersedia untuk memanfaatkan anjakan paradigma ini dan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan menambah nilai kepada semua pihak berkepentingan,” kata beliau.
Chan berkata, memandang ke hadapan, P.A. komited untuk mempertingkatkan lagi dan meletakkan kepentingan yang amat penting pada prinsip dan amalan ESG sebagai sebahagian daripada etos strategi perniagaannya.
"Kami komited untuk menyepadukan ESG selaras dengan operasi perniagaan kami melalui pelaksanaan proses yang lebih cekap tenaga, seterusnya mengurangkan pembaziran dan mempertingkatkan amalan penyumberan yang mampan.
"Dari segi sosial, kami mengutamakan kepelbagaian dan penyertaan dalam tenaga kerja kami, menyokong pembangunan komuniti dan menegakkan piawaian tertinggi keselamatan tempat kerja,” ujar beliau. - DagangNews.com