Pasukhas peroleh projek bina pusat data firma AS bernilai RM56.98 juta di Selangor | DagangNews Skip to main content

Pasukhas peroleh projek bina pusat data firma AS bernilai RM56.98 juta di Selangor

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Mei - Pasukhas Group Bhd memperoleh surat terima (LOA) daripada syarikat teknologi multinasional terkemuka beribu pejabat di Amerika Syarikat, bagi membina dan menyiapkan pusat data di Selangor berharga RM56.98 juta.

 

Pasukhas menyifatkan syarikat itu sebagai "salah satu syarikat teknologi multinasional terkemuka yang beribu pejabat di AS".

 

Projek itu dijadualkan bermula selepas penerimaan LOA dan dijangka siap pada 30 Jun 2025.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pasukhas berkata LOA menandakan peristiwa penting ke arah pengembangan strategik perniagaan syarikat dan dijangka mengukuhkan hasil serta keadaan kewangannya selepas projek itu siap.

 

“Lembaga berpandangan bahawa projek itu tidak akan mempunyai apa-apa kesan material ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham besar syarikat kerana tiada terbitan saham biasa baharu dalam syarikat itu.

 

"Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan syarikat Kumpulan Pasukhas dan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material serta-merta ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan itu," katanya.

 

Ketika penutupan pasaran Khamis, Pasukhas tidak berubah pada 14 sen, dengan 455,100 saham diniagakan. Permodalan pasarannya berjumlah RM26.67 juta. - DagangNews.com