Pelaksanaan Malaysia Madani dengan 6 rukun tepat pada masanya | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan Malaysia Madani dengan 6 rukun tepat pada masanya

KERANGKA Malaysia Madani yang diikat dengan enam rukun adalah cukup signifikan dan tepat pula masanya untuk digerakkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar memandangkan beliau mempunyai pengalaman dan kematangan yang cukup luas dalam pengurusan negara.

 

Pengarah Eksekutif IDE Datuk Ismail Yusop pula, beliau berpandangan dalam tempoh empat dekad Anwar berhadapan sepak terajang dunia politik bermula sebagai pemimpin belia sehinggalah pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan termasuklah Timbalan Perdana Menteri.

 

"Saya cukup yakin beliau dan kerajaan pimpinannnya mampu merealisasikan kerangka ini. Beliau cukup tegas untuk memanfaatkan semua kekuatan yang kita ada iaitu kemajmukan rakyat yang diikat berlandaskan Perlembagaan.

 

“Apatah lagi dalam situasi dunia pasca normal ini, kita tidak boleh lagi tangani isu semasa dengan cara konvensional, ini kerana situasi sekarang cukup berbeza dan rencam, lebih kucar-kacir.

 

"Berdasarkan setiap satu rukun ini, kita tidak boleh melihat ia secara konvensional dari satu sudut, kerana setiap satu rukun ini, ia terkait soal urus tadbir, ekonomi, pendidikan sosial dan segala macam aspek kehidupan. 

 

"Jika kita masih ingat amanat tahun baharu yang diucapkan beliau baru-baru ini iaitu pentingnya urustadbir negara melibatkan semua peringkat bukan sahaja golongan eksekutif tetapi juga merangkumi penjawat awam dan rakyat terbanyak,” jelasnya.


 

IDE Datuk Ismail Yusop
                 Datuk Ismail Yusop

 

Beliau menambah, kerangka Malaysia Madani ini cukup penting untuk dilaksanakan memandangkan negara memerlukan kepada suatu pendekatan baharu dan lebih segar untuk menangani masalah yang dihadapi sekarang termasuk dari segi sosioekonomi dan politik.

 

“Mengapa penting untuk kita berikan nafas baharu kepada pendekatan membina negara bangsa? Ini kerana masalah yang kita ada sekarang bukan lagi seperti dahulu, persepsi orang terbanyak cukup mudah dipengaruhi anasir buruk yang tular di media sosial, dan dunia kita kini lebih terbuka dan liberal untuk pengaruh-pengaruh luar masuk dengan cepat.

 

“Namun perlu ditegaskan, jika Anwar dan kerajaan pimpinannya ingin melaksanakan kerangka negara Malaysia Madani ini, kita semua haruslah memberi ruang kepada mereka dalam tempoh satu penggal ini untuk kita lihat sendiri hasilnya. Dengan itu kestabilan politik perlulah dikekalkan dan dari situ barulah kita akan dapat membina negara yang harmoni dan sejahtera sambil meraikan kepelbagaian yang membentuk Malaysia,” katanya.

 

KITA ADALAH AGEN PERUBAHAN

Ismail yang turut menyentuh tentang usaha membangun negara bangsa berkata, semua pihak perlu berani menjadi agen perubahan, bukan hanya membiarkan Malaysia hanyut dibawa arus pemodenan sehingga hilang nilai kemanusiaan.

 

“Contohnya dalam  isu rasuah, kita sering dimomokkan dari sekolah rendah bahawa negara kita hidup di bawah bayangan rasuah  sehingga ia memberi kesan negatif kepada personaliti seseorang. Oleh itu, apakah kita hanya ingin berdiam diri sahaja tanpa melakukan perubahan? Barah rasuah ini berlaku dalam keadaan cukup sistemik dan tersusun, sehingga membuatkan pelakunya tidak rasa bersalah melakukannya.

 

“Oleh itu, kita jangan hanya pandai menuding jari sahaja. Paling penting ialah bagaimana kita perlu sering muhasabah diri dan melihat apakah tindakan pelaksanaan yang agresif untuk menangani gejala rasuah ini khususnya yang berlaku di peringkat eksekutif, penjawat awam dan rakyat,” katanya.


 

parafrasa

 


Menurut statistik keseluruhan tangkapan kes rasuah bagi tahun 2022 yang dipaparkan di laman sprm.gov.my, sebanyak 909 kes tangkapan dibuat membabitkan penjawat awam (323 orang) dan orang awam (586 orang).

 

"Statistik sebegini sudah tentunya tidak boleh dipandang ringan sekiranya mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang  bebas rasuah, " katanya. - DagangNews.com