Petronas, CelcomDigi bekerjasama percepat usaha transformasi industri tenaga menggunakan teknologi 5G | DagangNews Skip to main content

Petronas, CelcomDigi bekerjasama percepat usaha transformasi industri tenaga menggunakan teknologi 5G

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan CelcomDigi Bhd bekerjasama meneroka cara memanfaatkan teknologi 5G bagi mempercepatkan usaha transformasi dan kemampanan dalam industi tenaga.

 

Kerjasama strategik selama dua tahun itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat meneroka potensi usaha industri tekno-digital menggunakan teknologi 5G bagi membolehkan penambahbaikan berterusan dilakukan merentasi operasi Petronas.

 

Selain itu, kerjasama itu juga akan melihat peluang menyepadukan rumusan tenaga bersih ke dalam penawaran perusahaan CelcomDigi dalam memacu penerimaan dalam kalangan perniagaan baharu Malaysia.

 

Naib Presiden, Teknologi Kumpulan dan Pengkomersialan Petronas, Aadrin Azly berkata, mereka memainkan peranan utama dalam menyokong agenda teknologi negara ke aras mengukuhkan kedudukan inovasi Malaysia di persada antarabangsa.

 

Beliau berkata, Petronas mempelopori penggunaan 5G bagi perusahaan di Malaysia pada tahun lalu dengan kejayaan rangkaian 5G persendirian du Terminal Terminal Pengegasan Semula Sungai Udang (RGTSU) dan menyaksikan peningkatan kecekapan dalam operasi.

 

petronas
Aadrin Azly (dua dari kiri) dan Albern Murty (tiga dari kiri) pada majlis memeterai kerjasama antara Petronas dan CelcomDigi di ibu negara pada 26 April 2024.

 

"Kerjasama itu menawarkan kami peluang untuk mengembangkan teknologi 5G kepada perusahaan kami serta komuniti yang lebih luas.

 

"Kami membayangkan pembinaan infrastruktur rangkaian yang mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk akses yang boleh dipercayai kepada internet berkelajuan tinggi dalam sektor minyak dan gas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada mereka untuk mempercepatkan pemodenan operasi minyak dan gas yang dikuasakan oleh sambungan 5G.

 

Beliau berkata, mereka telah merealisasikan aplikasi digital praktikal untuk operasi pelantar dan kini perlu memastikan pekerja pelantar produktif dan selamat.

 

"Keterbukaan Petronas untuk meneroka pendekatan baharu adalah penting kepada kadar ujian serta pelaksanaan yang akan memacu momentum penyampaian yang baik untuk kerjasama masa depan kami.

 

"Kami berharap dapat menambahbaik perkara berkaitan 5G merentas bidang perniagaan lain, memanfaatkan ketersambungan masa nyata dan analisis data bagi  mengoptimumkan operasi serta merealisasikan aspirasi tenaga bersih yang dikongsi untuk sektor minyak dan gas," katanya. - DagangNews.com