KUALA LUMPUR 23 Jun - Energica Motor Company bergabung tenaga dengan gergasi pelincir, Petronas Lubricants International menjadi rakan perindustrian Energica dan penaja utama perlumbaan Amerika Energica untuk musim 2023.
Energica kini menyokong pasukan Tytlers Cycle Racing dengan kepakaran yang tidak ternilai dan jentera yang luar biasa dalam Kejohanan Kebangsaan Super Hooligan Roland Sand Design, sebahagian daripada siri MotoAmerica.
Energica ialah satu-satunya pengeluar elektrik yang bersaing bersama pemain ICE (Internal Combustion Engine) yang lain untuk sepenuh musim.
Ketua Pegawai Teknologi (CTO), Giampiero Testoni berkata, pihaknya mencipta sejarah sekali lagi yang mana perlumbaan sentiasa berada dalam DNA sejak awal lagi.
"Selepas mencipta sejarah dalam MotoE selama empat tahun, kami menerima cabaran baharu bersama Tytlers Cycle Racing.
"Apa yang menjadikan ini lebih luar biasa adalah untuk memiliki kuasa besar seperti Petronas Lubricants International bersama kami untuk meletakkan kejayaan baharu dalam sejarah sukan permotoran," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Petronas Lubricants International, Hezlinn Idris berkata, pihaknya sentiasa meneroka cara untuk menyokong industri kenderaan elektrik (EV) yang sedang berkembang pesat, termasuk dalam arena sukan permotoran.
"Kerjasama ini membuka peluang kepada kami dalam pembangunan cecair EV yang meliputi semua jenis kenderaan elektrik termasuk trak, kenderaan komersial ringan, kereta penumpang dan motosikal.
"Ia adalah bukti keupayaan kami untuk menyesuaikan penyelesaian yang ditempah khas untuk rangkaian penuh aplikasi bendalir dalam rangkaian kuasa elektrik," katanya.
Petronas Lubricants International diwakili jenama cecair generasi akan datang syarikat yang disesuaikan khusus untuk EV, Petronas Iona, yang merangkumi cecair e-Transmission, cecair e-Cooling, dan e-Greases.
Pihaknya menambah Energica ke senarai perkongsian dengan Original Equipment Manufacturers (OEM) untuk melanjutkan Penyelesaian Teknologi Bendalirnya, memenuhi keperluan menuntut kenderaan elektrik.
Pusingan kedua Kejohanan Kebangsaan Super Hooligan 2023 akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun ini di The Ridge Motorsports Park di Shelton, Washington State, Amerika Syarikat. - DagangNews.com