KUALA LUMPUR 16 Mei - Petronas Suriname E&P B.V. (Petronas Suriname E&P) telah membuat penemuan hidrokarbon ketiga di Blok 52 yang terletak kira-kira 170 kilometer di luar pesisir pantai negara Amerika Selatan itu.
Penemuan oleh anak syarikat Petronas itu adalah di telaga penerokaan Fusaea-1 di Blok 52 Suriname.
Menurut Petronas, kerja-kerja di telaga itu dimulakan pada Februari 2024 dan berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 5,227 meter dengan sifar (0) LTI, menemui beberapa pakej takungan batu pasir Campanian yang mengandungi minyak dan gas.
"Penilaian lanjut sedang dijalankan untuk menentukan tahap penuh penemuan ini dan potensinya untuk pembangunan bersepadu dengan penemuan Roystonea-1 dan Sloanea-1 baru-baru ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Petronas Suriname E&P ialah pengendali Blok 52 dengan 50% kepentingan penyertaan bersama ExxonMobil.
Blok 52, yang meliputi kawasan seluas 4,749 kilometer persegi, terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname, dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas umum penemuan minyak di Suriname
Sebagai tambahan kepada Blok 52, Petronas Suriname E&P mengendalikan Blok 48 dan Blok 63 dengan 100% kepentingan penyertaan dan 30% kepentingan bukan operasi di Blok 64.
Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli, berkata hasil daripada penerokaan telaga Fusaea-1 telah mengukuhkan kedudukan Petronas di Suriname sebagai pemain utama dalam sumber hidrokarbon, berikutan kejayaan penemuan Sloanea-1 dan Roystonea-1.
Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman pula berkata, kejayaan Fusaea-1 adalah bukti kemajuan dalam pemahaman geologi di rantau ini, disokong oleh penemuan baru-baru ini di Roystonea-1 dan Sloanea-1.
"Penemuan ini telah meluaskan dengan ketara prospek dan potensi pembangunan minyak dan gas bersepadu dalam Blok 52.
"Dalam mengejar sumber bahan yang mampan dan bernilai tinggi, Petronas kekal komited dalam aktiviti penerokaannya di kawasan tumpuan terpilih sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi portfolionya,” jelasnya - DagangNews.com