Proton jual 13,602 unit kenderaan pada Februari, jualan S70 meningkat 60.5% | DagangNews Skip to main content

Proton jual 13,602 unit kenderaan pada Februari, jualan S70 meningkat 60.5%

Proton S70 menawarkan prestasi bertenaga daripada engin 1.5T dan kotak gear 7DCT serta ketersambungan dan ciri keselamatan yang komprehensif.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mac - Jualan Proton S70 meningkat 60.5% kepada 2,314 unit pada bulan Februari sekali gus menjadikan kereta sedan segmen-C yang paling popular di Malaysia. 

 

Keseluruhannya, PROTON meneruskan trajektori pertumbuhan positifnya dengan melaporkan 13,602 jualan domestik dan eksport pada bulan Februari.


 
Sekali lagi, Proton Saga kekal mencatatkan jualan tertinggi dengan 6,212 unit pada bulan Februari yang juga jumlah jualan telah melepasi 6,000 unit sebulan untuk bulan kelima berturut-turut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, keseluruhannya Proton meneruskan trajektori positifnya pada bulan kedua tahun ini dengan jualan disokong oleh permintaan domestik yang konsisten serta peningkatan pertumbuhan eksport. 

 

SAGA
Memasuki tahun ke-39 pengeluaran berterusannya, Proton Saga kekal sebagai tawaran menarik untuk pembeli
kereta dengan gabungan ciri, kebolehpanduan dan nilainya. 

 

"Oleh itu, pasaran eksport kita akan menjadi tumpuan pertumbuhan pada 2024 dan kami juga mempunyai harapan yang tinggi untuk Proton S70 menguasai segmennya kerana penghantaran terus meningkat dalam beberapa bulan yang akan datang. 

 

"Setelah meluaskan jejak kami merentasi banyak negara, kami akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa model PROTON ke tahap yang lebih tinggi dalam pasaran eksport ini yang berpotensi untuk mengembangkan jualan kami dengan ketara dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

 

x50
PROTON X-50

 

Selain Proton S70, kereta segmen-B Proton Persona dan SUV utama Proton X90 terus menerajui kategori masing-masing dengan Proton Persona merekodkan jualan sebanyak 1,859 unit manakala Proton X90 meningkat sebanyak 2.5% kepada 374 unit berbanding bulan sebelumnya.

 

Sementara itu, Proton X50 berada di tempat kedua untuk SUV segmen-B pada bulan Februari, tetapi masih mengekalkan jualan yang sihat dengan 1,816 unit. 

 

Menurut kenyataan itu, pertumbuhan dalam volum jualan eksport telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan jualan Proton.

 

"Perniagaan eksport melonjak sebanyak 223% kepada 346 unit pada bulan Februari berbanding dengan bulan Januari, manakala pertumbuhan eksport sehingga kini berada pada 50.5% dengan 453 unit dijual ke pasaran luar negara setakat ini," jelasnya.

 

Jumlah jualan Proton untuk dua bulan pertama meningkat kepada 26,484 unit, iaitu penambahan 3% berbanding
tempoh masa yang sama pada tahun 2023. - DagangNews.com