Reservoir Link peroleh subkontrak EPCC ladang solar bernilai RM22 juta di Kedah | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link peroleh subkontrak EPCC ladang solar bernilai RM22 juta di Kedah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Reservoir Link Energy Bhd menerusi Founder Energy Sdn Bhd peroleh subkontrak bernilai RM22 juta daripada JS Solar Sdn Bhd bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ladang solar 50MWac yang terletak di Kulim, Kedah.

 

Kumpulan itu berkata, kumpulan itu juga bertanggungjawab ke atas bekalan tenaga kerja, bahan, mesin serta peralatan berkaitan yang diperlukan untuk pelaksanaan serta penyaiapan ladang solar itu.

 

"Kerja-kerja itu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya percaya bahawa perkongsian dengan JS Solar akan membawa mereka selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan matlamatnya.

 

"Dengan bergabung tenaga dengan pemain industri dan menerima pakai kedua-dua sumber tenaga yang mampan, kami menjangkakan perkembangan pesat teknologi boleh diperbaharui memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk sumber tenaga alternatif.

 

"Ia seterusnya akan membentuk trajektori menaik kepada kami didorong masa depan yang lebih hijau dan Malaysia yang lebih mesra alam," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, subkontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat dan tiada sebarang kesan ke atas aset bersih sesaham serta penggearan syarikat.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan syarikat dan anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan sepanjang tempoh kontrak. - DagangNews.com