RHB Investment selaraskan unjuran pendapatan Aeon Credit Service bagi FY24-26 akibat pertumbuhan penghutang | DagangNews Skip to main content

RHB Investment selaraskan unjuran pendapatan Aeon Credit Service bagi FY24-26 akibat pertumbuhan penghutang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - RHB Investment menyelaraskan unjuran pendapatan Aeon Credit Service (M) Bhd bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) sebanyak -1 hingga 4%.

 

Ini dilakukan dengan firma itu membuat sedikit perubahan dalam andaian pertumbuhan penghutang, pendapatan bukan faedah dan kos kredit.

 

Firma penyelidikan itu berkata nada pengurusan menuju ke tahun kewangan berakhir 28 Februari 2024 (FY24) dilihat sebagai optimistik yang berhati-hati, dengan penekanan pada pertumbuhan penghutang berkualiti untuk mengurangkan tekanan kualiti aset.

 

Walaupun pertumbuhan pendapatan dijangka diredam dalam FY24, firma itu berkata, pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan penilaian yang tidak menuntut menyebabkannya menyukai Aeon Credit Service dalam kalangan pemberi pinjaman bukan bank.

 

Menurut firma itu, kumpulan tersebut mencapai keseimbangan yang betul, di mana pengurusan kumpulan itu percaya pertumbuhan penghutang berkualiti menjadi penting dalam FY24 berikutan masalah makroekonomi masih berterusan.

 

“Kumpulan itu masih berhasrat untuk mengembangkan penghutang sekitar 10% tahun ke tahun (YoY) berbanding 9.9% dalam FY23 tetapi akan memberi lebih tumpuan kepada pelanggan dengan skor kredit yang lebih tinggi, terutamanya untuk segmen pembiayaan objektifnya disebabkan pembiayaan telefon pintar membentuk sebahagian besar pinjaman tidak berbayar (NPL),” katanya dalam nota hari ini.

 

Kumpulan itu juga mempunyai bidang pertumbuhan utama lain iaitu kad kredit (melalui ekosistem runcit Aeon), pembiayaan kenderaan (terutamanya moped dan kereta terpakai) dan pembiayaan peribadi.

 

Di samping itu, pinjaman berkaitan kelestarian (SLL) meningkatkan penawaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), di mana kumpulan tersebut baru-baru ini memperoleh pinjaman tersebut yang bernilai RM600 juta.

 

Firma itu berkata, ia akan digunakan untuk memperluaskan kemudahan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (mikro-PKS) dan peminjam yang ingin membeli motosikal elektrik dan skuter, serta menambah baik pelepasan karbon dalaman kumpulan dan menyasarkan pengagihan SLL sebanyak RM5 juta pada FY24.

 

RHB Investment percaya prospek pendapatan yang diredam pada FY24 telah dinilai dengan baik oleh pasaran, memandangkan penilaian yang tertekan pada masa ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM14.90 sesaham daripada RM15.20. -DagangNews.com