RHB Investment unjur CIMB Group catat untung bersih lebih baik pada suku pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur CIMB Group catat untung bersih lebih baik pada suku pertama 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - RHB Investment menjangkakan CIMB Group Holding Bhd mencatatkan untung bersih yang lebih baik pada suku pertama tahun ini.

 

Katanya, unjuran itu adalah hasil daripada penumpuan bank terhadap pemulihan margin faedah bersih (NIM) serta strategi yang bertujuan mengurangkan kos deposit selain pendapatan bukan faedah juga menunjukkan prestasi yang baik pada suku terakhir.

 

Firma penyelidikan itu berkata, CIMB membayangkan bahawa NIM akan bertambah baik dari suku tahun ke suku tahun diterajui oleh Malaysia dan Indonesia berdasarkan kos deposit serta harga pinjaman semula yang lebih rendah di Indonesia.

 

"Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh NIM yang lebih lemah di Singapura (penetapan harga semula deposit dan peralihan dalam campuran deposit kepada deposit tetap daripada CASA) dan Thailand (pencairan daripada campuran aset dan kos pendanaan yang lebih tinggi).

 

"Walaupun inisiatif itu akan terus dirasai pada suku kedua, CIMB mengakui bahawa mungkin tidak banyak ruang untuk pemotongan kadar deposit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, CIMB kekal komited mengekalkan disiplin penetapan harga yang ketat ke atas pinjaman.

 

Katanya, walaupun menjangkakan sokongan berterusan untuk pertumbuhan daripada segmen pengguna dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di dalam negara, bank itu sanggup mengorbankan sebahagian daripada bahagian pasaran dalam gadai janji dan segmen borong kesan daripada margin yang kecil.

 

"Strategi ini mencerminkan keyakinan CIMB terhadap francaisnya yang kukuh, terutamanya dalam segmen borong.

 

"Untuk gadai janji, bank mendapati tukaran harga dengan jumlah boleh diterima, setelah menaikkan kadar gadai janji sebanyak kira-kira 20 mata asas sepanjang tahun lalu, menghasilkan pertumbuhan antara 5% hingga 10%. 

 

"Bagaimanapun, CIMB mengekalkan panduan pertumbuhan pinjamannya sebanyak 5% hingga 7%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.60 sesaham. - DagangNews.com