KUALA LUMPUR 3 Mei - Sapura Energy Bhd melantik Ganesh Gunaratnam sebagai ketua pegawai kewangan (CFO), berkuat kuasa 1 Jun 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sapura Energy berkata Ganesh menggantikan Chew Seng Heng, 58, yang akan meletak jawatan sebagai CFO pada 31 Mei 2024, tetapi bakal kekal di Sapura Energy untuk menumpukan pada penyelesaian penstrukturan semula kumpulan itu.
Sapura Energy berkata Ganesh, 47, adalah bekas pengarah bahagian perkhidmatan penstrukturan semula perniagaan PwC Malaysia, di mana beliau mengetuai perkhidmatan penstrukturan semula operasi dan pengurusan modal kerja.
"Beliau mempunyai lebih 25 tahun pengalaman bekerja dan memulakan kerjayanya dalam amalan jaminan PwC Malaysia dan seterusnya berpindah ke amalan nasihat tawaran dan menghabiskan 13 tahun melaksanakan tugasan berkaitan usaha wajar.
"Ganesh ialah rakan ahli Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)," tambahnya. - DagangNews.com