Siasatan PAC tidak menyeluruh bongkar penyelewengan pembelian ventilator COVID-19, kata C4 Center | DagangNews Skip to main content

Siasatan PAC tidak menyeluruh bongkar penyelewengan pembelian ventilator COVID-19, kata C4 Center

Hanya 32 unit ventilator daripada 500 yang dikontrakkan semasa pandemik boleh digunakan. - Gambar hiasan
oleh JOHARDY IBRAHIM

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mempersoalkan cara siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dianggap `tidak menyeluruh' untuk membongkar penyelewengan pembelian ventilator semasa pandemik COVID-19 oleh Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB).

 

"Cadangan yang dibuat oleh PAC tidak menyeluruh dan tidak menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang mungkin timbul lagi.

 

"Tidak disebutkan tentang penyelewengan pentadbiran eksekutif yang memintas semua amalan perolehan standard dalam mendapatkan ventilator semasa pandemik," kata C4 Center dalam kenyataan hari ini.

 

"Sekali lagi, kontrak tidak ditulis. PAC diberi kuasa untuk memanggil Menteri yang hadir pada mesyuarat Kabinet di mana perolehan diputuskan. Demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti, PAC sepatutnya telah menyiasat secara menyeluruh penyelewengan dan menyediakan penyelesaian konkrit kepada perkara itu.

 

"Sebaliknya, hanya seorang menteri yang dipanggil untuk prosiding penyiasatan, tanpa penjelasan yang memuaskan berhubung tanggungjawab anggota Kabinet atas isu yang timbul daripada mereka.

 

"Dengan pengakuan PAC sendiri, PLSB tidak mempunyai pengalaman serta kepakaran untuk menjalankan perolehan perubatan. Jika ya, mengapa mereka dipilih?," soal C4 Center.

 

Pharmaniaga Logistic akan bayar balik RM16.78 juta kepada KKM bagi 104 ventilator tidak berfungsi — PAC

 

Menurut C4 Center, pemilihan ini amat dipersoalkan kerana pemilihan dibuat oleh Menteri yang berkemungkinan tidak mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk membuat keputusan mengenai perolehan, satu latihan yang biasanya dijalankan oleh pegawai perolehan dan lembaga penilai yang berpengalaman.

 

"Ini membawa kepada persoalan yang lebih besar sama ada Pharmaniaga sepatutnya mempunyai monopoli ke atas perolehan perubatan memandangkan prestasi buruk mereka serta masalah kewangan.

 

"Kegagalan PAC untuk membangkitkan isu-isu ini tidak menawarkan keyakinan terhadap keupayaan mereka untuk memberikan pengawasan terhadap perbelanjaan kerajaan di mana Menteri mempunyai peranan langsung untuk dimainkan.

 

 

c4

 

 

Adalah mengecewakan bahawa tindak balas terhadap isu ini telah berujung kepada retorik nombor, di mana kerugian yang dialami hanya dijawab dengan pembayaran balik kemudiannya.

 

Walau bagaimanapun, adalah satu kegagalan besar untuk melupakan bahawa perolehan ini adalah penting untuk pemeliharaan nyawa semasa krisis kesihatan global, kata C4 Center.

 

Pada 25 Mac lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, melaporkan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) telah bersetuju untuk membayar balik RM16.78 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

 

 

Datuk Mas Ermieyati Samsudin

 

 

Ini adalah berkaitan dengan perolehan teruk ventilator oleh PLSB di mana mereka dibayar RM30 juta untuk menjalankan — operasi yang gagal itu akhirnya mengakibatkan kerugian RM13.07 juta dan kekurangan penghantaran jumlah yang dimaksudkan, daripada 500 unit yang dikontrakkan, hanya 32 unit boleh guna sahaja.

 

C4 Center berkata, proses perolehan seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan semasa kecemasan tidak mempunyai mekanisme pengawasan dan prosedur yang mencukupi.

 

"Pemerolehan ventilator telah dianjurkan hampir keseluruhannya melalui Whatsapp; ia tidak mempunyai kontrak rasmi yang menyatakan peranan dan tugas PLSB yang tepat; dan telah diputuskan sepenuhnya melalui mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 25 Mac 2020, dengan RM30 juta disalurkan kepada PLSB pada hari yang sama.

 

"Ia juga penting untuk diingat bahawa pada permulaan pandemik COVID-19, Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk menutup Parlimen dan juga memberi kuasa kepada cabang Eksekutif untuk mengawal perbelanjaan kerajaan secara unilateral semasa kecemasan. - DagangNews.com