Tangani masalah tekanan kerja dalam kalangan pendidik di universiti | DagangNews Skip to main content

Tangani masalah tekanan kerja dalam kalangan pendidik di universiti

Oleh Norazlinda Mohammad

KERJAYA sebagai pendidik di universiti merupakan salah satu cabang profesional yang bukan sahaja menjadi impian sebahagian individu malah merupakan profesi yang disanjung tinggi oleh masyarakat.  

 

Namun, ia memerlukan semangat yang kuat, jiwa yang kental, kecekalan mental dan emosi yang stabil bagi menghadapi cabaran, ujian dan tekanan dengan tugasan yang diamanahkan. 

 

Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan beberapa kajian bebas agensi penyelidikan dalam negara melaporkan lebih 50% pekerja mengalami tekanan kerja dan hampir 25% mengalami tekanan tinggi di tempat kerja. 

 

Hakikatnya, saban hari kerjaya pendidik tidak mengira guru atau pensyarah kini semakin mencabar dan memenuhi tuntutan tenaga, pemikiran, kebijaksanaan pengurusan masa, perancangan yang jitu dari awal tahun sehingga penghujung sesi pengajaran berlangsung.

 

Siapa kata menjadi seorang pendidik kerjayanya mudah santai-santai sahaja iaitu hanya datang mengajar dan selesainya pengajaran boleh pulang berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

 

Mungkin gambaran itu boleh diakui pada suatu ketika dahulu tetapi sekarang realitinya dunia sebenar kehidupan sebagai pendidik sangat berbeza dan setiap pensyarah perlu memenuhi sasaran kerja tahunan yang diamanahkan iaitu petunjuk prestasi utama iaitu KPI (indeks prestasi utama) bagi mencapai kompetensi sebagai seorang pendidik.

 

 

Norazlinda Mohammad
                               Norazlinda Mohammad

 

 

Tekanan dihadapi oleh Pendidik Universiti dengan sasaran prestasi yang perlu dicapai

Pepatah Melayu ada mengatakan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

 

Begitulah landskap kerjaya sebagai seorang pendidik bukan sahaja menjalankan tanggungjawab hakiki iaitu hadir ke kuliah mengajar mahasiswa-mahasiswi.

 

Mereka turut menggalas tugasan sebagai penyelia, membuat kajian penyelidikan, penerbitan, melibatkan diri dengan projek perundingan, menyertai pertandingan inovasi, mengadakan kerjasama penyelidikan atau projek dengan pihak luar dan membuat perjanjian persefahaman (MOU).

 

Lazimnya, betapa banyak tugasan yang perlu digalas oleh seorang pensyarah dan ini merupakan KPI yang perlu dicapai setiap tahun.  Ini secara tidak langsung memberi tekanan mental atau burnt out dan emosi kepada pendidik jika tidak ditangani dengan baik. 

 

Ini belum lagi tugasan atau lantikan yang diberikan oleh pengurusan fakulti iaitu perlu menjadi ahli jawatankuasa, membuat laporan audit, bersiap siaga untuk diaudit pengajaran dan sebagainya.  

 

Istilah bekerja tidak kira masa seperti robot merupakan bidalan yang sesuai digambarkan bagi merujuk cabaran yang dihadapi oleh pendidik. 

 

Malah, terdapat segelintir pensyarah pulang lewat dari kebiasaan dan membawa tugasan ke rumah seolah-olah waktu rehat terpaksa dikorbankan demi mengejar tarikh akhir tugasan yang diberi.

 

 

irsyad

 

 

Persoalannya adakah pendidik perlu berhadapan dengan dilema bebanan kerja yang tiada berkesudahan dan ini memberi tekanan hebat yang boleh memberi impak kelesuan sebelum berakhirnya semester.  

 

Kemurungan, tekanan, keresahan jiwa, stres, kecelaruan fikiran boleh terjadi jika pensyarah terus dibebani dengan kerja selain tugasan hakiki iaitu mengajar di dalam kelas.

 

Kesihatan Mental dan emosi seorang pendidik perlu dijaga dan dipertingkatkan

Kadang-kala pendidik dipertanggungjawabkan dengan tugas perkeranian yang terpaksa dilaksanakan kerana jawatan kerani tidak disediakan di dalam fakulti. 

 

Ada juga cabaran seorang pendidik yang berjauhan dengan keluarga demi mencari rezeki memberi ujian getir kerana berulang alik dari rumah ke universiti. 

 

Sukar untuk kita membaca pemikiran, hati, jiwa seseorang; adakalanya nampak luar gembira tetapi emosi dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu.  Malah, ada yang suka menyimpan permasalahan dan akhirnya memakan diri sendiri.

 

Umumnya, setiap orang menjalani liku-liku kepahitan dan masalah yang berbeza.  Usah jadikan diri seorang pensyarah menjadi mangsa kepada tekanan mental, derita dalam senyap berikutan dengan bebanan kerja yang meningkat. 

 

Ia ibarat bom jangka masa memakan diri sedikit demi sedikit, menguji ketahanan mental dan emosi.  Jika tidak dikawal dengan baik dan dibiarkan berlanjutan boleh mengakibatkan tekanan fikiran, masalah emosi tidak stabil, tidak bermotivasi, produktiviti kerja menurun dan akhirnya bersikap putus asa di dalam kehidupan.

 

 

hikayat

 

 

Terdapat juga pendidik yang mengalami masalah penyakit kronik kesan daripada tekanan kerja atau stres sehingga menjejaskan kesihatan diri dan terpaksa menghabiskan masa di hospital. 

 

Ibrahnya,  pendidik perlu mengambil pendekatan yang bijak iaitu pengurusan masa dan sentiasa memastikan kesihatan mental, emosi dan pengurusan diri mampan dan terjaga.

 

Penyelesaian masalah bagi menangani Tekanan Kerja

Landskap sektor pendidikan perlu disemai dengan benih kecemerlangan dan dijaga dengan baik kerana hanya dengan pendidikan boleh mengubah peradaban bangsa. 

 

Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan universiti harus cakna akan permasalahan ini dan jangan menunggu sehingga ia menjadi barah. 

 

Kesan daripada asyik mengejar KPI dengan memperjudikan kesihatan dan kesejahteraan mental pensyarah akhirnya  mengundang kesan kerugian.  

 

Menjalani keseimbangan hidup antara kerja dengan kehidupan berkeluarga penting bagi menyeimbangi keperluan hidup.  Kehidupan perlu diwarnai dengan rehat, beriadah dan bersantai dengan keluarga. 

 

Pensyarah universiti perlu sentiasa menjaga kesihatan mental dan memastikan emosi stabil bukan sahaja melaksanakan tugasan murni sebagai seorang pendidik tetapi juga cuba mencapai KPI dengan baik. 

 

 

irsyad

 

 

Pengurusan masa perlu diambil dengan serius dan bijak bagi memastikan pendidik tidak stres atau burnt out dengan bebanan tugasan yang diberikan dari masa ke semasa. 

 

Perlu diingatkan di dalam kehidupan seseorang itu perlu merencana awal jika tidak natijahnya akan gagal. 

 

Selain itu, sentiasa berbincang dengan pengurusan fakulti dengan berdiskusi, memberi pandangan kepada Ketua Pusat Pengajian (KPP) bagi sebarang masalah kerja atau pembahagian tugas. 

 

Ini penting agar KPP bersikap empati, memahami dan lebih realistik di dalam memberi arahan tugas serta maklum akan masalah atau sebarang kekangan yang dihadapi oleh pensyarah. 

 

Komunikasi dua hala dengan rakan sekerja dan kerja sepasukan yang komited juga memainkan peranan yang penting dalam kalangan pendidik bagi memastikan urusan tugasan dapat dibahagikan sama rata bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

 

Ini selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu melahirkan masyarakat yang sejahtera dan mampan dari segi mental dan emosi.

 

Sememangnya ketahanan diri seorang pendidik berbeza dan elakkan menghadapi masalah dengan menyendiri. 

 

Jika seseorang pensyarah itu menghadapi stres atau masalah boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat dengan berjumpa kaunselor universiti bagi berkongsi masalah atau tekanan kerja yang dihadapi. 

 

 

irsyad

 

 

Tindakan ini bukan sahaja dapat mengurangkan stres, tekanan mental, masalah malah menemui jalan penyelesaian yang baik.

 

Tuntasnya, bukan mudah untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pendidik yang penuh ranjau kehidupan. 

 

Namun, ia tidak sama sekali mematahkan semangat dan jiwa pensyarah untuk terus berbakti kepada negara, bangsa dengan mencurah ilmu kepada pelajar dan masyarakat.  Masalah tekanan kerja perlu diambil berat oleh semua pihak terutama sekali Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan universiti.

 

Ia perlu ditangani dengan baik bagi membina budaya kerja yang positif, profesionalisme, memelihara kesejahteraan dan kesihatan emosi pendidik bagi menjamin kualiti, kecemerlangan dan kelestarian pendidikan. - DagangNews.com

 

Norazlinda Mohammad adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Melaka