Tindakan Bursa Malaysia ke atas Khee San: Wajar beri kesan kepada semua | DagangNews Skip to main content

Tindakan Bursa Malaysia ke atas Khee San: Wajar beri kesan kepada semua

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

 

PADA 29 Jun 2022, Bursa Malaysia Securities Berhad mengambil tindakan terhadap syarikat pengeluar gula-gula, Khee San Berhad dengan membuat teguran secara terbuka (reprimanded) ke atas syarikat itu serta mengenakan denda sebanyak RM885,000 ke atas sembilan pengarah Khee San.

 

Sembilan pengarah itu ialah bekas pengerusi Datuk Seri Liew Yew Chung dan pengarah eksekutif merangkap ketua pegawai eksekutif Edward Tan Juan Peng.

 

Pengarah lain ialah Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Mohd Harif, Dato’ Mohd Aris Ramli, Mohanadas A/L K.P. Balan, Leslie Looi Meng, Huang Yan Teo, Wong Hock Foong dan Liew Yet Mei.

 

Bursa berkata pelanggaran itu termasuk gagal membuat pengumuman segera mengenai kegagalan pembayaran pelbagai kemudahan kredit oleh syarikat dan anak syarikat utamanya Khee San Food Industries Sdn Bhd.

 

Khee San telah dikategorikan sebagai kaunter Nota Amalan 17 (Practice Note, PN17) pada November 2021 selepas salah sebuah anak syarikat milik penuhnya diletakkan di bawah pengurusan kehakiman.

 

Pengumuman klasifikasi sebagai syarikat PN17 dibuat selepas Khee San mencetuskan kriteria untuk diletakkan dalam kategori PN17 pada bulan Julai 2020.

 

Walau bagaimanapun ia tidak diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas pada waktu itu disebabkan oleh langkah pelepasan sementara oleh Bursa Malaysia sebagai bantuan untuk mendepani pandemik COVID-19.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata teguran secara terbuka telah dibuat terhadap syarikat kerana tidak mengumumkan kegagalan membuat pembayaran pelbagai kemudahan kredit dan pengisytiharan solvensi serta pelanggaran amalan tadbir urus korporat.

 

khee san

 

 

Bukan kali pertama

Ini bukanlah kali pertama Khee San dikenakan teguran secara terbuka oleh pengawal selia atas dakwaan salah laku.

 

Pada Mei 2018, syarikat dan pengarahnya telah didenda sebanyak RM1.86 juta dan ditegur oleh Suruhanjaya Sekuriti kerana gagal mematuhi piawaian perakaunan yang diluluskan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2015 dan 2016.

 

Kegagalan membuat pembayaran Perkembangan terkini menyaksikan Bursa Malaysia membuat teguran terhadap Khee San kerana gagal membuat pengumuman serta-merta kepada bursa mengenai kegagalan dalam pembayaran pelbagai kemudahan kredit oleh anak syarikat utamanya, Khee San Food Industries Sdn Bhd.

 

Syarikat telah gagal membuat pembayaran balik bagi kemudahan kredit berjumlah RM73.16 juta pada 30 Jun 2019, tetapi hanya membuat pendedahan lengkap tentang kegagalan pembayaran tersebut kepada semua bank pemiutang pada 6 Julai 2020 - kelewatan lebih dari setahun.

 

Selaras dengan syarat-syarat penyenaraian, penerbit tersenarai perlu membuat pengumuman serta-merta apabila berlaku kegagalan membuat pembayaran walaupun rundingan dengan pemberi pinjaman belum selesai atau masih berterusan.

 

Pemegang saham minoriti perlu mengetahui perihal kegagalan membuat pembayaran balik kerana ia adalah isu yang serius. Ia memberi gambaran bahawa sesebuah syarikat tidak dapat melunaskan pembayaran apabila sampai tempoh.

 

“Ini menjadi mukadimah kepada banyak perkara buruk yang berlaku kepada syarikat, melainkan syarikat itu dapat mengesan dan menangani situasi tersebut dengan segera,” kata CEO Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG), Devanesan Evanson.

 

 

Devanesan Evanson
                      Devanesan Evanson

 

Kesalahan pengisytiharan solvensi tidak tepat

Bursa Malaysia menyatakan bahawa Khee San telah gagal memastikan ketepatan representasi bahawa syarikat adalah solven dan mampu memenuhi komitmennya dalam tempoh 12 bulan melalui pengumumannya kepada Bursa pada 9 Ogos 2019, 23 Jun dan 6 Julai 2020.

 

Syarikat telah menegaskan dalam kenyataan itu, bahawa “pengisytiharan solvensi adalah tepat dan tidak palsu atau mengelirukan.”

 

Bursa Malaysia dalam teguran secara terbuka terhadap syarikat dan para pengarahnya menyatakan, ia melihat pelanggaran itu secara serius kerana syarat untuk membuat pengumuman serta-merta mengenai kegagalan material dalam pembayaran kemudahan kredit dan menyediakan pengisytiharan kesolvenan yang tepat adalah asas dalam membolehkan para pelabur membuat keputusan pelaburan yang dimaklumkan mengenai keadaan kewangan syarikat berkenaan.

 

 

khee san

 

 

Kesalahan melanggar tadbir urus korporat

Bursa Malaysia juga menegur Khee San atas pelanggaran tadbir urus korporat apabila syarikat mengisytiharkan secara salah penamaan/peranan Dato’ Sri Liew Yew Chung sebagai pengerusi/pengarah bukan eksekutif dalam laporan tahunan berakhir 30 Jun 2017 (yang dikeluarkan pada 31 Oktober 2017) dan Laporan Tahunan untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2018 (yang diterbitkan pada 8 Mei 2019).

 

Ini adalah salah nyata kerana Liew menjalankan peranan eksekutif dalam syarikat itu dan berkuasa untuk membuat keputusan penting.

 

Pengisytiharan palsu yang menyebut Liew sebagai pengerusi/pengarah bukan eksekutif dalam laporan tahunan adalah pelanggaran amalan tadbir urus korporat.

 

Ia mengelirukan para pemegang saham kerana mereka bergantung kepada laporan tahunan sebagai satu daripada sumber maklumat mereka untuk membuat keputusan pelaburan.


 

khee san

 


Berkesankah tindakan ke atas Khee San?

Tindakan Bursa Malaysia terhadap Khee San dan lembaga pengarahnya menghantar isyarat tegas bahawa Bursa tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap syarikat awam tersenarai (PLC) dan pengarah yang mengabaikan kaedah-kaedah Bursa atau tidak mematuhi amalan tadbir urus korporat.

 

“Lazimnya, Bursa mengambil tindakan pengawalseliaan terhadap pengarah yang bersalah dan bukan syarikat.

 

“Mengenakan denda ke atas syarikat hanya menyakiti pemegang saham minoriti kerana ia menjejaskan prestasi kewangan syarikat,” kata MSWG.

 

Pengarah adalah manusia biasa yang menjadi alter ego sesebuah syarikat manakala sebuah syarikat hanyalah entiti yang sah yang tidak mempunyai minda atau hati atau motivasi untuk melakukan kesalahan.

 

“Dalam hal ini, tindakan Bursa wajar dipuji,” kata CEO MSWG, Devanesan Evanson lagi.

 

Pengawal selia seharusnya terus bertindak dengan berlaku adil dan tanpa rasa takut supaya meningkatkan lagi keyakinan pelabur dalam pasaran saham.

 

Ini seterusnya menjadi faktor yang menarik lebih banyak pelabur asing untuk melabur dalam jumlah yang tinggi.

 

Keyakinan yang pulih adalah berita baik kepada para pemegang saham minoriti kerana ia menambah jumlah aktiviti pasaran.

 

 

MSWG

 

 

PLC dan pengarah bertanggungawab terhadap pemegang saham untuk mengemudi syarikat mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Bursa dan mematuhi amalan tadbir urus korporat yang baik. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan komuniti pelabur.

 

Sebagai sebuah syarikat bermasalah yang dikategorikan sebagai PN17, Khee San sepatutnya lebih mematuhi peraturan yang telah digariskan.

 

Namun, pemegang saham sudah pun mempunyai persepsi negatif terhadap syarikat disebabkan status PN17. Teguran secara terbuka dan denda yang dikenakan langsung tidak membantu memperbaiki persepsi negatif itu, kata MSWG. - DagangNews.com

 
 
Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu yang pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Rusty Blade - Langsuir Liar berulang-ulang kali.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MERREPAK