Unifi Business sedia percepat pendigitalan usahawan melalui Geran Digital PMKS Madani | DagangNews Skip to main content

Unifi Business sedia percepat pendigitalan usahawan melalui Geran Digital PMKS Madani

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Unifi Business bersedia untuk mempercepatkan pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan melalui Geran Digital PMKS Madani (GDPM). 

 

Seperti yang dibentangkan sewaktu Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan menyasarkan untuk memberi insentif kepada PMKS tempatan untuk pendigitalan demi kesinambungan perniagaan melalui GDPM.

 

Sebanyak 97.4% daripada perniagaan tempatan terdiri daripada PMKS tempatan dan memberikan peluang pekerjaan kepada 47.8% daripada jumlah populasi. Namun sebahagian besar daripada mereka (kira-kira 77%) masih berada di tahap permulaan pendigitalan.

 

Melalui geran ini, usahawan PMKS akan dapat melanggan pakej dan rumusan Unifi Business dengan geran padanan 50% sebanyak sehingga RM5,000 setiap pelanggan. 

 

Ia termasuk rangkaian luas perkhidmatan dengan internet berkelajuan tinggi Unifi Business, data mudah alih 4G dan 5G berkelajuan tinggi Unifi Mobile Biz, serta data 5G tanpa had Unifi Air Biz. 

 

Di samping itu, Unifi Business juga akan menawarkan rumusan yang direka untuk memenuhi keperluan digital PMKS seperti, 'Digital Marketing Solution' yang merupakan kempen pemasaran digital yang diurus secara profesional oleh pengurus kempen bertauliah, membolehkan jangkauan lebih luas dan kehadiran jenama dalam talian lebih kukuh.

 

Selain itu, 'Unifi eCommerce Hub', sebuah platform bersepadu untuk pengurusan kedai dalam dan luar talian untuk inventori produk, pesanan, memantau jualan dan hasil, serta pertanyaan media sosial. Pengguna berpeluang membina tapak web interaktif dengan 'live chat' dan ciri pembayaran dalam talian.

 

 

unifi

 

 

Ia termasuk 'Kaspersky Small Office Security' yang melindungi dan memberikan keselamatan digital kepada perniagaan tanpa memerlukan tahap kemahiran IT yang tinggi.

 

Ketua PKS Unifi, Mohamad Yusman Ammeran berkata, selain daripada ketersambungan dan rumusan perniagaan, Unifi Business komited untuk membantu PMKS di Malaysia memperkukuh perniagaan dan keupayaan mereka. 

 

"Sebagai rakan digital pilihan kepada 400,000 PMKS di seluruh negara, TM menyokong keterlihatan dalam pasaran, pertumbuhan dan keupayaan digital mereka melalui perkhidmatan dan rumusan kami dengan 600 orang Perunding Perniagaan Unifi di seluruh negara.

 

"Lebih 100 orang daripada mereka diperakui dengan Pensijilan Antarabangsa Literasi Digital (ICDL)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selain geran itu, para pelanggan PMKS juga akan dapat menikmati harga baharu yang lebih rendah yang ditawarkan pada pelan Unifi Business Fiber. Ini termasuk promosi masa terhad untuk jalur lebar 100Mbps pada harga RM99 sebulan, iaitu kira-kira 30% lebih rendah berbanding harga baharu. - DagangNews.com