Unjuran pendapatan Glomac bagi FY24-26 dikurangkan sehingga 15% selepas pelancaran projek Loop City ditangguh | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Glomac bagi FY24-26 dikurangkan sehingga 15% selepas pelancaran projek Loop City ditangguh

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Unjuran pendapatan Glomac Bhd bagi tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026 (FY24-2026) disemak turun masing-masing sebanyak 15%, 12% dan 13% kepada RM13 juta, RM21 juta dan RM29 juta, memandangkan pelancaran projek Loop City ditangguh.

 

TA Securities berkata, ia mengurangkan ramalan jualan hartanah kumpulan itu bagi FY24-26 kepada RM300 juta, RM400 juta dan RM450juta berbanding unjuran terdahulu, iaitu RM430 juta, RM470 juta dan RM500 juta.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pelancaran rasmi Loop City di Puchong akan ditangguhkan kepada FY25, di mana sambutan adalah sedikit di bawah jangkaan dengan lebih kurang 150 unit (atau 15% kadar tempahan) ditempah. 

 

“Ini adalah di bawah kadar pengambilan biasa 60% untuk pelancaran hartanah berstrata, yang pengurusan kaitkan kepada persaingan yang tinggi di kawasan tersebut. 

 

“Kempen pemasaran yang berterusan sedang dijalankan untuk meningkatkan jualan, dengan pelancaran dijadualkan apabila mencapai sasaran kadar tempahan 60%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Disebabkan pelancaran Loop City Puchong ditangguh, sasaran mencapai jualan RM400 juta dilihat mencabar, namun pihak pengurusan Glomac menjangkakan jualan FY24 sekurang-kurangnya menyamai RM302 juta dalam FY23. 

 

Walaupun jualan hartanah baharu dalam tempoh sembilan bulan FY24 hanya mencecah RM142 juta, TA Securities mendedahkan bahawa pengurusan kumpulan itu kekal berharap jualan suku keempat lebih kukuh, disokong oleh beberapa pelancaran baru-baru ini. 

 

Rumah teres Allamanda di Saujana KLIA dan semiD Keys di Lakeside Residences, dengan jumlah anggaran GDV RM269 juta, masing-masing menunjukkan kadar pengambilan yang menjanjikan sebanyak 43% dan 30%. Projek lain yang sedang berjalan dan siap juga dijangka menyumbang kepada jualan pada suku keempat.

 

Di samping itu, firma penyelidikan tersebut berkata pengurusan Glomac berhasrat untuk mengejar peluang mengembangkan bank tanahnya secara aktif, terutamanya di Lembah Klang, yang sesuai untuk projek bertingkat tinggi dan pembangunan perbandaran bertanah.

 

“Nisbah penggearan bersih terkini kumpulan sebanyak 0.08 kali (berbanding purata sektor 0.4 kali) membayangkan kapasiti yang mencukupi untuk bersiap sedia memanfaatkan peluang perbankan tanah,” tambahnya.

 

TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 47 sen sesaham daripada 46 sen sebelum ini, berdasarkan sasaran gandaan harga kepada buku pada 0.3 kali.

 

Pada 11:59 pagi ini, saham Glomac menokok 1 sen atau 2.6% kepada 39 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM312 juta. - DagangNews.com