YNH lantik Morison LC Malaysia sebagai juruaudit luar baharu | DagangNews Skip to main content

YNH lantik Morison LC Malaysia sebagai juruaudit luar baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Lembaga Pengarah YNH Property Bhd hari ini meluluskan cadangan Jawatankuasa Auditnya untuk melantik Morison LC Malaysia sebagai juruaudit luarnya yang baharu.

 

YNH dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Morison LC Malaysia dilantik untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan mereka akan memegang jawatan sebagai juruaudit luar sehingga tamat mesyuarat agung tahunan kumpulan itu yang seterusnya.

 

Katanya, lembaga pengarah kumpulan itu telah menjemput dan menerima banyak tawaran daripada firma perakaunan untuk memegang peranan selaku juruaudit luar.

 

Kumpulan itu berkata, sejak beberapa bulan lalu, lembaga pengarah telah menilai dengan teliti beberapa calon untuk dicadangkan kepada pengarah bukan eksekutif bebas yang membentuk Jawatankuasa Audit.

 

"Pelantikan Morison LC Malaysia adalah sejajar dengan komitmen lembaga pengarah ke arah menerima tadbir urus korporat tertinggi dalam organisasi.

 

"Lembaga pengarah dan pasukan pengurusan YNH menyasarkan untuk memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada juruaudit luar baharu bagi menjaga kepentingan pemegang saham serta pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Morison LC Malaysia adalah antara firma perakaunan dan penasihat perniagaan terkemuka di negara ini, terdiri daripada tujuh rakan kongsi serta pengarah dan kehadirannya meliputi tiga pejabat di seluruh Malaysia, disokong lebih 100 tenaga kerja profesional.

 

Morison LC Malaysia adalah sebahagian daripada keluarga Morison Global  yang merupakan antara rangkaian perakaunan terbesar pada skala global.

 

Di peringkat antarabangsa, Morison Global diwakili oleh 137 firma ahli yang merangkumi 74 negara dan mempunyai tenaga kerja kolektif lebih daripada 11,700 profesional berkemahiran tinggi.- DagangNews.com