CGS-CIMB jangka Supermax akan terus catat prestasi lemah pada suku kedua FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Supermax akan terus catat prestasi lemah pada suku kedua FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Nov - Supermax Corp. Bhd. dijangka merekodkan prestasi lemah pada suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) sebelum menyaksikan peningkatan semula pada suku keempat. 

 

Menurut CGS-CIMB Research, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu masih berdepan dengan kelemahan dari segi jumlah jualan dan harga jualan purata (ASP) mengakibatkan keuntungan bersihnya pada suku pertama susut 99.1% kepada RM5.71 juta daripada RM638.52 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Katanya, ia berikutan persaingan harga yang sengit dalam sektor sarung tangan getah global apabila pemain industri meningkatkan kapasiti secara agresif, sedangkan permintaan global lemah. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan jumlah jualan dan ASP akan menampakkan peningkatan bermula suku keempat FY23 memandangkan masalah lebihan stok semakin berkurangan, yang akan menyaksikan dinamik permintaan dan bekalan lebih baik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, pendapatan Supermax pada suku pertama berakhir 30 September 2022 juga susut 83% kepada RM247.96 juta daripada RM1.46 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi suku ke suku, ia juga mencatat penurunan 17.5% daripada RM300.23 juta pada suku keempat FY22 manakala untung bersih juga susut 82.7% daripada RM33.05 juta pada suku berkenaan.

 

Supermax menyedari ASP berada pada paras tertinggi mereka dan kekal pada paras rendah semasa menghadapi persaingan sengit daripada pengeluar China, yang mengurangkan harga dalam pasaran untuk mendapatkan bahagian pasaran.

 

Jualannya juga terus terjejas ekoran perintah pelepasan penahanan (WRO) yang dikenakan oleh Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) sejak Oktober 2021, menjejaskan  usaha kumpulan untuk mengimport penghantaran kos rendah baharu kepada menurunkan purata kos inventori.

 

CGS-CIMB Research berkata, Supermax kemungkinan boleh tergelincir dengan mencatat kerugian bersih jika tidak kerana kesan ringgit yang lebih lemah (keuntungan kadar tukaran asing sebanyak RM44 juta pada suku pertama FY23). 

 

"Kami tidak menganggap ini berlaku sekali sahaja kerana eksport adalah penting dalam perniagaan sarung tangan getah. Malah, kumpulan juga kebiasaannya tidak mengamalkan aktiviti lindung nilai," jelasnya.

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Supermax bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 24 hingga 70.7% berikutan jumlah jualan yang lebih rendah, penurunan berterusan ASP dan output pengeluaran lebih rendah.

 

"Namun, kami mengekalkan saranan 'kurang' terhadap Supermax dengan harga sasaran dinaikkan kepada 70 sen daripada 50 sen sesaham sebelum ini kerana kami memulakan penilaian bagi akhir 2023," katanya. 

 

Setakat 9.05 pagi ini, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 1.65% kepada 89.5 sen dengan 222,800 saham diniagakan. - DagangNews.com