Sediakah kita terima pelancong China? Ini kupasan Sin Chew & Nanyang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 07 Jan 2023 07:00 AM

SEDIAKAH KITA MENERIMA PELANCONG CHINA?

Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 4-6 Jan 2023

 

 

 

SELEPAS tiga tahun menutup sempadan, pada 8 Januari 2023 China secara rasminya membuka pintu sempadan dan mula membenarkan rakyatnya untuk melancong ke luar negara. 

 

Pada masa sama, pelancong asing juga akan dibenarkan masuk secara bebas ke China dan langkah pencegahan wabak juga mula dilonggarkan.

 

Sebelum penularan wabak COVID-19, pelancong China digambarkan sebagai “dewa kekayaan” kerana membantu menyuntik perangsang ke dalam industri pelancongan semua negara di dunia, terutamanya pengusaha pelancongan di negara Asia Tenggara.

 

Secara logiknya, semua negara sepatutnya gembira dan mengalu-alukan kedatangan semula pelancong China. Bagaimanapun selepas pengumuman China, banyak negara telah memilih untuk menyekat kemasukan pelancong China dan meletakkan syarat ketat yang berbeza-beza.

 

Buat masa ini, tiada negara di dunia yang menyekat kemasukan pelancong China. Cuma terdapat 12 negara termasuk Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Kanada telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat. Seperti memerlukan pelancong menunjukkan sijil ujian negatif atau pengujian asid nukleik sebelum dibenarkan masuk ke negara.


 

parafrasa

 


Bimbang penularan strain baharu yang bermutasi

Banyak negara bimbang pelancong China akan membawa strain baharu yang bermutasi. Memang benar bahawa China mempunyai jumlah penduduk yang besar, dan kebarangkalian variasi adalah agak tinggi berbanding dengan negara lain.

 

Walau bagaimanapun, keadaan wabak semasa di dunia sebenarnya tidak optimistik. Penduduk China hanya menyumbang satu perempat dan kebarangkalian mutasi di negara lain adalah tiga kali ganda lebih besar daripada China. Jika berfikir secara rasional, mungkin strain mutan China tidak begitu dahsyat seperti yang dibayangkan.

 

Oleh kerana situasi wabak di China yang semakin meningkat dan difahamkan bahawa jumlah kes yang dijangkiti telah mencecah puluhan juta. Jadi beberapa ahli politik negara dan perniagaan berkaitan mula menyuarakan kebimbangan sama ada kemasukan pelancong China ini akan menyebabkan kes di negara juga akan meningkat.

 

Usah rosakkan hubungan Malaysia-China

Antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini telah menyeru kerajaan supaya menangguhkan kemasukan pelancong China bagi mengelak membawa virus tersebut ke negara kita. Begitu juga, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) turut menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong China atas alasan penularan varian baharu itu. Komen negatif mengenai ketibaan pelancong China turut muncul di beberapa platform media sosial.

 

Kenyataan yang tidak matang mungkin akan menakutkan pelancong China, malah turut menjejaskan hubungan baik Malaysia dan China. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyeru semua pihak melihat pembukaan sempadan China dengan rasional dan berhati-hati dalam tutur kata, agar tidak menjejaskan hubungan persahabatan kedua negara.

 

Usah membuat komen yang tidak mesra sebelum mengetahui situasi sebenar dan gambaran keseluruhan. Beliau menyatakan terima kasih kepada pemimpin dan rakyat China atas pengesahan dan sokongan mereka kepada Malaysia. Dan menyenaraikan negara sebagai 10 destinasi pelancongan teratas untuk orang China.


 

parafrasa

 


Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Mint Leong berpendapat, apabila seluruh dunia memberi isyarat kepada pelancong China, Malaysia seharusnya menunjukkan kebaikan dan mengalu-alukan bukannya cuba menyekat lawatan mereka.

 

Dan syarat yang diletakkan oleh kerajaan untuk pencegahan wabak tidak boleh semata-mata menyasarkan pelancong China sahaja, tetapi perlu sama rata kepada semua pelancong dari seluruh dunia.

 

Pelancong China menyumbang kepada industri pelancongan

Susulan China membuka sempadannya, dunia kini boleh dikatakan telah memasuki era hidup bersama dengan virus tersebut. Coronavirus mungkin akan wujud bertahun-tahun dan kita tidak boleh menghalang kedatangan pelancong China selama-lamanya.

 

Lagipun industri pelancongan menyumbang bahagian yang agak tinggi untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Sebelum penularan wabak, industri pelancongan menyumbang hampir 7 hingga 8 peratus dan kebanyakannya disumbangkan oleh pelancong China.

 

Dengan pembukaan China, banyak kedutaan dan biro pelancongan luar negara telah menyatakan sokongan dan sambutan kepada pelancong China di Weibo. Dapat dilihat ‘aura’ pelancong China adalah sangat kuat.

 

Malaysia sebagai sebuah negara membangun dengan perkadaran sektor pelancongan yang agak besar. Mungkin hari ini kita boleh menyekat pelancong China, tetapi sampai bila? Berapa ramai rakyat Malaysia dan keluarga di belakang industri pelancongan? Bagaimana dengan periuk nasi mereka?

 

Umum mengetahui kuasa perbelanjaan pelancong China adalah sangat besar. Menurut Presiden MITA, Uzaidi Udaniz, purata kuasa perbelanjaan pelancong China mencecah AS$2,000 seorang. Jika kita tidak membuka sempadan kepada China, Malaysia mungkin akan kehilangan RM2.6 bilion dalam pertukaran asing.

 

Seperti yang kita tahu, industri pelancongan merupakan industri terkemuka dan berkait dengan industri lain bukan sahaja perhotelan, tetapi juga melibatkan restoran, e-hailing dan kedai barangan yang lain. Adalah satu kerugian besar kepada negara, jika melakukan terlaku banyak sekatan malah melarang kemasukan pelancong China.


 

irsyad

 


Sekat pelancong China tidak rasional

Keseimbangan antara ekonomi (pelancongan) dan penularan wabak adalah sama penting, tetapi selagi kita memperketatkan SOP seperti Eropah dan Amerika Syarikat, ia sudah memadai.

 

Seterusnya ialah kesediaan rakyat kita untuk menerima dos penggalak. Sama ada kita boleh terus memakai pelitup muka dan menjada kesihatan sendiri terutamanya bagi kumpulan yang berisiko tinggi. Begitu juga kesediaan sektor perubatan untuk bekerja dengan lebih cekap dan baik, selepas melalui pengalaman dua tahun yang lalu.

 

Justeru itu, idea melarang kemasukan pelancong China adalah tidak saintifik dan tidak rasional. Sama ada kita suka atau tidak, hidup bersama virus adalah sesuatu yang perlu dipelajari oleh manusia di seluruh dunia. – DagangNews.com

 
 
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 4-6 Jan 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA