Kesenian Memperkasa Mitos, Legenda, dan Kebudayaan Warisan
Mitos dan legenda telah menjadi tulang belakang warisan budaya manusia sejak zaman purba lagi. Dari zaman batu hingga era digital masa kini, kisah-kisah lama ini terus hidup dan diteruskan dari generasi ke generasi.
Tidak menghairankan tahun ini soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mata pelajaran Kesenian tahun ini turut mengangkat tema mitos dan legenda sebagai titik fokus. Lebih daripada sekadar menjadi bab dalam silibus, kita semestinya menghargai dan menghormati kedudukan penting mitos dan legenda dalam masyarakat.
Kajian serta interpretasi terhadap mitos serta legenda membuka lembaran baru dalam menghargai keunikan, menghargai warisan leluhur, serta merangsang kreativiti dalam seni pertunjukan.
Kesenian koreografi yang diilhamkan oleh mitos dan legenda mengandungi keindahan serta kebesaran yang melebur budaya serta identiti. Setiap gerakan tarian, setiap langkah yang diatur, mempunyai makna serta kisah yang tersirat dari cerita-cerita tradisional yang bersemayam dalam jiwa masyarakat.
Melalui persembahan koreografi yang berpaksikan tema mitos dan legenda, penonton dibawa menyusuri perjalanan zaman, merasai kekuatan lisan warisan leluhur, serta menghargai kreativiti seniman dalam menyampaikan pesanan moral serta kebijaksanaan yang terkandung dalam cerita-cerita tersebut.
Mengkaji dan merenung kisah-kisah mitos serta legenda membuka peluang untuk kita menelusuri akar budaya kita, mencari pengertian mengenai nilai-nilai yang dipegang teguh oleh nenek moyang kita. Terdapat kebijaksanaan dan petunjuk moral dalam setiap cerita yang disampaikan.
Nilai-nilai ini membantu memandu sikap dan tindakan kita dalam kehidupan seharian. Dengan mengetahui dan menghayati mitos serta legenda, kita dapat mencorakkan jati diri dan mengekalkan warisan budaya yang diberikan oleh leluhur.
Peranan mitos dan legenda bukan sahaja berhenti di situ, namun ia juga memainkan peranan penting dalam merangsang kreativiti. Kisah-kisah yang diceritakan membuka ruang untuk imaginasi kita menjelajah dunia yang luar biasa.
Dari situ, timbullah hasil karya yang bermakna; baik dalam bentuk seni visual, muzik, tarian, teater dan sebagainya. Kreativiti yang dipacu oleh mitos dan legenda menjadi mercu tanda penting dalam memastikan warisan budaya tidak hanya berhenti pada peringkat pengajaran, tetapi berkembang dan dihubungkan dengan realiti zaman.
Legenda di Pentas Kuala Lumpur
Pada bulan ini terdapat persembahan seni Dramatari Ulek Mayang oleh Sekolah Seni Kuala Lumpur bertempat di Auditorium Seni Persada, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur pada 18 Mei 2024 yang bakal memukau penonton, menggariskan kembali nilai-nilai kebudayaan tradisional yang kaya dengan elemen mitos serta legenda.
Melalui koreografi yang menggabungkan unsur-unsur kebudayaan ini, penonton akan disajikan dengan suasana Ulek Mayang yang memukau, bersemangatkan, serta menyentuh jiwa.
Begitu juga persembahan Panggung Seni Tradisional dianjur JKKN di MaTIC setiap bulan. Pada bulan ini, Ronggeng Melayu dibawakan Nusantara Performing Arts Research Centre (NUSPARC) bakal menemui penonton pada 24 dan 24 Mei di MATIC.
Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pula dari 24 Mei hingga 2 Jun di WTCKL, kreativiti dalam penulisan dan sastera yang mengambil inspirasi dari mitos serta legenda akan turut digerakkan dan diraikan oleh Hikayat Fandom mencerminkan bagaimana kekayaan warisan ini terus dipelihara dan dipromosikan seiring dengan masa.
Peluang untuk menikmati karya seni yang dihasilkan melalui inspirasi mitos dan legenda adalah sebuah pengalaman yang mendalam serta bermakna. Ia mencorakkan jati diri, mendorong pemeliharaan serta penyampaian kreativiti yang bersifat warisan dan berkait rapat dengan identiti budaya yang diwarisi.
Menyisipkan nilai-nilai adab, adat, serta warisan dalam setiap persembahan seni tidak hanya merupakan satu tugas, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan kelestarian serta kekayaan budaya kita tetap hidup, terus bermakna, dan relevan sepanjang zaman.
Muzium-muzium serta pusat-pusat seni harus turut bergerak ke hadapan dalam mendokumentasi, mempertahan, serta menyebar warisan budaya ini untuk generasi akan datang. Menerusi karya seni, kita merenung jauh ke belakang, merasai keindahan serta kebesaran mitos, legenda, dan kebudayaan warisan, serta memahami bahawa tanahair kita adalah tapak warisan legenda serantau.
Tidak keterlaluan juga untuk menyatakan bahawa mitos dan legenda turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan kualiti adab, adat, dan warisan. Kisah-kisah yang diceritakan mencerminkan nilai-nilai murni yang diajarkan untuk dijadikan pedoman tingkah laku.
Adab berinteraksi dengan sesama, adat bekerja sama, dan warisan kekayaan budaya ditekankan dalam setiap cerita yang diwarisi dari generasi ke generasi. Melalui pemeliharaan nilai-nilai ini, kita turut memastikan bahawa kearifan leluhur kita terus hidup dan relevan dalam kehidupan moden.
Sejarah telah membuktikan bahawa dalam kemajuan dan perkembangan sebuah tamadun, kehadiran mitos dan legenda adalah sesuatu yang amat penting. Mereka tidak hanya sekadar kisah-kisah lama yang dipercayai, tetapi merupakan asas yang kukuh dalam mencorakkan jati diri, kreativiti, adab, adat, dan warisan sebuah masyarakat.
Dengan menghargai dan menghayati mitos serta legenda, kita tidak hanya memastikan kelestarian budaya, tetapi juga mengangkat ketamadunan bangsa dan negara. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : ninotaziz@gmail.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA