Naratif Hikayat jangan diselewengkan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 27 Nov 2023 07:00 AM

NARATIF HIKAYAT JANGAN DISELEWENGKAN 

 

 

DI negara ini, takrif bangsa Melayu diperkemas secara diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama, dimaktub secara perundangan.

 

Adat dan warisan Melayu lama amat halus dan dimaktubkan dalam kata kata leluhur, hikayat lama dan kanun yang tersimpan sekian lama. 

 

Pemerkasaan budaya bermula dengan kelestarian bahasa Melayu yang telah digunakan di rantau ini lebih 1000 tahun yang lampau. Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan di Malaysia, dan juga Brunei, Indonesia (Bahasa Indonesia), Singapura dan digunakan di beberapa negara Asia Tenggara yang lain.

 

Ia merupakan satu khazanah yang tidak ternilai dan membentuk nurani dan kekuatan jatidiri kita. 

 

Ilmu lama cerminan intelektual tersimpan dalam manuskrip seperti Undang Kanun Melaka, Kitab Bedil dan pelbagai kitab lama.


 

malimdeman

 


Ketinggian bahasa dicerminkan melalui pantun, gurindam, syair dan Hikayat lama seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman dan Panji Semirang inilah kayu ukur ketamadunan kita yang sejati. 

 

Sesungguhnya, berdirinya bangsa kerana bahasa. Indahnya seni kerana budaya. Kuasa naratif Hikayat Melayu terletak pada keupayaan cerita-cerita ini melangkaui zaman silam dan masa hadapan - harus diterima oleh semua lapisan rakyat dan pelbagai generasi.

 

Manuskrip lama, seperti Manuskrip Melayu, menjadi penyimpan segala kebijaksanaan yang kekal sehingga hari ini dengan sebab tertentu. 

 

Khazanah dan ilmuan ini telah mengharungi ujian masa, memastikan kaitan dan kepentingannya. Di dalam Manuskrip Melayu, terdapat lagenda seperti Hang Tuah dan Panji Semirang, serta cerita rakyat seperti Sang Kancil.

 

Naratif ini terus dirujuk berkali-kali kerana sifatnya yang lestari dan abadi. Walau bagaimanapun, ia kadangkala disalah tafsir, dimanipulasi dan disalah guna.

 

Contoh utama perkara ini dilihat dalam kes Hang Tuah. Setelah dikenali sebagai wira Dunia Melayu di seantaro selama bertahun-tahun, karektor Hang Tuah telah perburukkan dengan pelbagai persepsi.


 

iktisad

 


Dikatakan terlalu setia pada Sultan, membelakangkan Hang Jebat sahabat setianya dan seolah-olah hilang hala tuju dalam kehidupan. 

 

Kisah legenda Laksamana peneroka alam maritim, pendekar hebat bermain senjata dan bersilat serta ahli diplomat tersohor rantau ini tenggelam ditelan zaman.

 

Persepsi moden tentang Hang Tuah gagal dan mengabaikan konteks di era Kesultanan Melaka dan kod tingkah laku yang berbeza yang wujud pada zaman itu. Ini membawa kepada pemahaman yang menyimpang tentang wataknya.

 

Selain itu, hubungannya dengan Hang Jebat sering digambarkan dalam pandangan negatif, bahawa Hang Tuah lupa tentang tanggung jawab terhadap sahabatnya. 


 

iktisad

 


Segala kesilapan Hang Jebat pula yang sangat dahsyat dipandang sebelah mata. Ramai juga tidak mengendahkan prinsip tanggungjawab terhadap sahabat sejati dalam kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Ingatlah, dalam adab Melayu, kita sepatutnya membetulkan satu sama lain apabila tersesat jalan.

 

Baru-baru ini ada pula cubaan menggunakan Panji Semirang daripada Manuskrip Melayu untuk membuktikan kewujudan gerakan transgender dan LGBT suatu ketika dahulu. 

 

Tafsiran ini ternyata sama sekali salah. Galuh Cendera Kirana, yang menyamar sebagai pahlawan Panji Semirang, berbuat demikian BUKAN kerana dia transgender, sebaliknya sebagai pilihan strategik untuk menjalankan siasatannya tanpa halangan. 


 

iktisad

 


Contoh-contoh ini menyerlahkan kerumitan mentafsir manuskrip kuno apabila bahasa semakin berubah. Adalah penting untuk mendekati naratif ini dengan pemahaman yang bernuansa, dengan mengambil kira konteks budaya, sejarah dan sosial di mana ia ditulis. 

 

Adakah kita akan biarkan kearifan lampau kita dipergunakan dengan cara tidak bertanggungjawab terhadap sejarah, adat dan adat kita?

 

Saya masih mendengar idea Hang Tuah itu dari Cina sebenarnya, Parameswara itu putera dari India dan pelbagai andaian dan ‘penyelewengan’. Pertahankanlah bangsa dan budaya. 

 

Dengan mengakui kekuasaan penceritaan dan menerima pemahaman yang komprehensif tentang kisah hikayat kita yang kaya dan legenda zaman berzaman, kita dapat menghargai kebijaksanaan berharga dari zaman silam.

 

 Renungkanlah… 

 

‘Perbendaharaan indah pepatah Melayu berabad lamanya, dicungkil dari inskripsi, manuskrip dan kesusasteraan lisan – sumber ilham untuk diterokai, direnungkan, dinikmati.’

Dato Dr Annabel Teh Gallop Tokoh Merdeka dan Kurator British Library  - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb