Menyingkap pengaruh kata-kata terhadap sentimen dan pergerakan pasaran saham
"TIADA kata secantik bahasa"... Kata-kata ini bukan sekadar ungkapan dalam bait lirik yang terdapat dalam lagu yang didendangkan oleh legenda seni Malaysia, Tan Sri P. Ramlee.
Ia menggambarkan keindahan dan kekuatan bahasa sebagai alat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan romantis. Namun, pernahkah anda terfikir tentang pengaruh kata-kata terhadap pasaran saham?
Dalam pasaran saham yang dinamik, kata-kata yang diucapkan oleh seseorang pemimpin terutamanya mereka yang berpengaruh seperti Perdana Menteri, Menteri Kewangan, atau menteri yang berkaitan, memiliki kekuatan untuk mempengaruhi pergerakan pasaran saham.
Tidak terhad dengan itu, ia juga mampu untuk mempengaruhi keyakinan para pedagang dan pelabur terhadap pasaran saham.
Kesan riak kenyataan, sentimen pasaran dan barometer reaksi pasaran
Kata-kata, atau merujuk kepada penyataan merupakan kenyataan yang dibuat oleh seseorang pemimpin yang berpengaruh sama ada dalam bentuk lisan mahupun bertulis.
Ia dapat diklasifikasikan ke dalam dua kategori berbeza: kenyataan yang menghasilkan kesan positif dan kenyataan yang membawa kesan negatif yang berpotensi untuk membentuk sentimen pasaran, mencetuskan aktiviti jual beli luar jangka, dan yang memberi kesan ketara terhadap pergerakan pasaran saham.
Kenyataan positif yang dibuat oleh pemimpin mempunyai kesan yang mendalam terhadap keyakinan pasaran.
Apabila pemimpin menyampaikan perkembangan positif atau menyatakan keyakinan terhadap ekonomi, ini boleh meningkatkan keyakinan dalam kalangan pedagang mahupun pelabur.
Keyakinan ini dapat diterjemahkan melalui peningkatan aktiviti pembelian saham dan memberi kesan yang besar terhadap harga saham.
Sebaliknya, kenyataan negatif yang dibuat oleh pemimpin juga boleh mempengaruhi pasaran saham dengan cara yang berbeza.
Apabila pemimpin memberikan kenyataan yang menimbulkan keraguan atau menunjukkan ketidakstabilan ekonomi, ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan pedagang dan pelabur.
Tambahan pula, kenyataan negatif juga boleh menimbulkan ketidakpastian di pasaran saham.
Sebagai contoh, jika pemimpin mengumumkan kemungkinan dasar kewangan yang lebih ketat atau peningkatan peraturan dalam sektor tertentu, pedagang serta pelabur mungkin bimbang tentang kesan ke atas keuntungan sesebuah syarikat dan keupayaan mereka untuk beroperasi dengan bebas. Ini boleh menyebabkan penurunan harga saham dan meningkatkan aktiviti jualan.
Jelas di sini menunjukkan, penyataan yang dibuat oleh pemimpin yang berpengaruh dapat mencetuskan kesan gelombang, yang menyebabkan perubahan dinamik pasaran dan seterusnya mempengaruhi pergerakan pasaran saham.
Menganalisis kenyataan menggunakan AI
Dalam bidang analisis sentimen, Kecerdasan Buatan (AI) telah muncul sebagai alat yang berkuasa untuk menganalisis serta mengklasifikasikan sentimen seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi yang dibuat oleh seseorang pemimpin.
Dengan memanfaatkan keupayaan Pemprosesan Bahasa Asli (NLP) dan algoritma pembelajaran mesin, AI boleh mengklasifikasikan kenyataan kepada tiga sentimen asas, iaitu, sama ada positif, negatif, atau neutral.
Melalui AI juga, kita dapat memperoleh pandangan yang lebih mendalam mengenai kesan terhadap pasaran saham dan membantu dalam membuat keputusan perdagangan mahupun pelaburan.
Berikut adalah penjelasan ringkas mengenai proses analisis sentimen dan kepentingannya dengan menggunakan AI:
- Pemprosesan Bahasa Semulajadi (NLP): Teknik NLP membolehkan model AI memproses dan memahami bahasa manusia. Dengan menggunakan algoritma, NLP membolehkan AI mengekstrak maklumat yang bermakna daripada kenyataan rasmi, termasuk perkataan, frasa, dan konteks yang menyampaikan sentimen.
- Latihan Model Analisis Sentimen: Bagi melatih model AI untuk menganalisis sentimen, set data berlabel digunakan. Set data ini terdiri daripada kenyataan rasmi yang dilabelkan sebagai positif, negatif, atau neutral. Model AI mempelajari corak dan hubungan antara bahasa dan sentimen daripada data ini.
- Pengekstrakan Ciri: Semasa analisis sentimen, model AI mengekstrak ciri-ciri yang relevan daripada kenyataan rasmi untuk menangkap sentimen yang dinyatakan. Ciri-ciri ini termasuk kata-kata individu, frasa, dan juga keseluruhan ayat. Teknik pengekstrakan ciri mengubah data teks menjadi angka untuk membolehkan analisis sentimen diukur.
- Klasifikasi Sentimen: Model AI menggunakan algoritma pembelajaran mesin seperti Mesin Vektor Sokongan (SVM), Rangkaian Neural Berulang (RNN), atau model berasaskan Transformer untuk mengklasifikasikan sentimen kenyataan rasmi. Algoritma ini mempelajari corak daripada set data berlabel dan meramalkan label sentimen untuk kenyataan baharu berdasarkan ciri yang diekstrak.
- Analisis Masa Nyata: Analisis sentimen berkuasa AI membolehkan analisis masa nyata kenyataan rasmi. Model terlatih boleh memproses dan mengklasifikasikan sentimen dengan segera apabila kenyataan baharu dibuat oleh pemimpin. Analisis masa nyata ini membolehkan pemantauan reaksi pasaran, mengesan peralihan sentimen, dan membuat keputusan tepat pada masanya berdasarkan pandangan yang diperoleh.
Untuk membuktikan bahawa AI boleh digunakan untuk membantu membuat keputusan dalam pasaran saham.
Disertakan tangkap layar di mana berita bertajuk ‘Malaysia to Cut Subsidies to Manage Ballooning Debt: Anwar’ di ambil kemudian diproses seperti langkah yang dijelaskan di atas.
Hasilnya, melalui berita ini, sentimen adalah negatif dan memberi keputusan kepada pedagang dan pelabur supaya menjual saham yang berkaitan atau menjauhi pasaran saham bersama justifikasi.
Dengan melakukan analisis sentimen dengan bantuan AI, terbukti, ia dapat membantu pedagang mahupun pelabur mengenal pasti kesan kenyataan positif atau negatif dan implikasi terhadap keyakinan pasaran saham.
Ini membolehkan pedagang dan pelabur menyesuaikan strategi dan kedudukan mereka dengan sewajarnya, memaksimumkan peluang mereka untuk berjaya dalam pasaran saham.
Tiada kata secantik bahasa
Menarik bukan? Mesti kita terfikir bagaimana kata-kata boleh memegang kuasa sedemikian?
Maka, ia tidak dapat disangkal bahawa kata-kata memiliki kekuatan yang luar biasa.
Daripada bait lirik lagu sehinggalah ke pasaran saham, kesan kata-kata tidak dapat dinafikan. Siapa sangka kenyataan seseorang pemimpin sebenarnya boleh mempengaruhi arus pasaran saham! - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN