Pasaran saham: Jangan berdagang seperti ‘Khinzir’! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 12 Jul 2023 08:00 AM

Pasaran saham: Jangan berdagang seperti ‘Khinzir’!

 

 

 

KETAMAKAN membunuh! Ia boleh membunuh anda sebagai seorang pedagang saham, terutamanya, jika anda berdagang saham seperti ‘khinzir’.

 

Jika anda adalah seorang pedagang mahupun pelabur saham, pasti anda pernah mendengar pepatah ini;

“Bulls Make Money, Bears Make Money, Pigs Get Slaughtered”

 

Pepatah ini memberi amaran kepada pedagang dan pelabur terhadap bahaya ketamakan dalam pasaran saham. Ia menekankan kepentingan mengekalkan pendekatan yang seimbang dan rasional dalam pasaran saham.

 

Elakkan sifat tamak dalam pasaran saham kerana mereka yang mempunyai tingkah laku sebegini sering dilabelkan sebagai ‘khinzir’. Ini kerana kebanyakan keputusan perdagangan yang dibuat oleh mereka didorong oleh keinginan yang tidak terkawal semata-mata untuk meraih keuntungan yang cepat.

 

Oleh itu, sebagai pedagang yang bijak, hendaklah sentiasa berpegang pada pepatah ini, jangan biarkan ketamakan menjejaskan pertimbangan anda di pasaran saham, jadilah seperti ‘lembu jantan’ dan ‘beruang’ bagi mengelakkan nasib ‘khinzir’.

 

Lembu Jantan, Beruang atau Khinzir?

Dalam dunia perdagangan saham, pedagang boleh dikategorikan kepada tiga iaitu ‘lembu jantan’, ‘beruang’ dan ‘khinzir’. Setiap kategori sebenarnya merujuk kepada mentaliti atau gaya pemikiran yang membawa implikasi tersendiri terhadap kejayaan dan kegagalan pedagang di pasaran saham.


 

parafrasa
Arca beruang dan lembu jantan di hadapan bangunan Bursa Malaysia di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur

 


Mentaliti ‘lembu jantan’ merangkumi keyakinan dalam pasaran. Mereka percaya kepada pasaran yang semakin menaik, mereka sentiasa mencari peluang untuk membeli saham dan menjana keuntungan daripada kenaikan harga saham.

 

Kebiasaannya, pedagang bersifat ‘lembu jantan’ ini cenderung mempunyai perspektif jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada analisis asas untuk mengenal pasti saham yang dinilai rendah.

 

Pendekatan mereka terhadap perdagangan dicirikan oleh penyelidikan menyeluruh, bersabar, dan mempunyai kepercayaan yang kuat bahawa pasaran akhirnya akan memberi ganjaran kepada pandangan optimistik mereka.

 

‘Beruang’ pula bersikap pesimistik. Mereka menjangkakan pasaran saham akan berada dalam aliran menurun. Sama seperti ‘lembu jantan’, mereka secara aktif akan sentiasa mencari peluang untuk mendapat keuntungan daripada kejatuhan harga melalui teknik ‘short selling’.

 

‘Beruang’ menggunakan analisis teknikal dan petunjuk teknikal untuk mengenal pasti saham terlebih nilai dan mungkin mengalami corak pergerakan harga menurun. Matlamat mereka adalah untuk meramalkan penurunan pasaran dengan tepat dan memanfaatkan peluang daripada kejatuhan harga saham.

 

Pendek kata, ‘lembu jantan’ mendapat keuntungan dengan membeli saham pada harga yang rendah dan kemudiannya menjual pada harga yang tinggi, manakala beruang pula mendapat keuntungan daripada menjual pada harga yang tinggi dan membeli semula pada harga yang lebih rendah.


 

parafrasa

 


Yang peliknya adalah ‘khinzir', ini kerana mentaliti 'khinzir' merupakan perangkap berbahaya yang mesti dielakkan oleh pedagang. ‘Khinzir’, kebiasaannya didorong oleh ketamakan yang tidak terkawal dan sering membuat keputusan impulsif tanpa mengambil kira sebarang risiko.

 

‘Khinzir’ sentiasa bertindak memkhinzir buta dengan mengejar setiap peluang, tidak kira sama ada ia berisiko ataupun tidak. Apa yang ada dalam pemikiran mereka adalah mengaut keuntungan besar dengan cepat tanpa mempertimbangkan keadaan, corak pergerakan harga atau isyarat dari petunjuk teknikal.

 

Seperti kata pepatah, semua akan mampu menjana keuntungan tetapi ‘khinzir’? ‘Khinzir’ akan sentiasa disembelih – berada dalam kerugian kerana tamak!

 

Berhenti mengejar apa yang telah bergerak

Perdagangan seperti ‘khinzir’ merujuk kepada tingkah laku pedagang yang didorong oleh jangkaan yang tidak realistik dan keinginan untuk menjana keuntungan besar dengan cepat.

 

Mereka mudah terpedaya dengan janji untuk membuat keuntungan besar dalam sekelip mata.

 

Walau bagaimanapun, kepercayaan ini sebenarnya tidak lebih daripada ilusi – ia ibarat skim cepat kaya yang boleh membawa kepada bencana kewangan.


 

irsyad

 


Adalah penting bagi pedagang untuk menghilangkan tanggapan bahawa keuntungan besar yang cepat mudah dicapai dengan berdagang saham.

 

Realitinya, untuk mencapai keuntungan yang signifikan dan konsisten dalam perdagangan saham, ia memerlukan pendekatan berdisiplin, pengetahuan yang luas serta strategi yang jelas.

 

Pedagang perlu memahami bahawa perdagangan saham adalah proses pembelajaran yang berterusan yang memerlukan kesabaran, ketekunan dan ketelitian. Jadi, berhentilah berdagang seperti ‘khinzir’!

 

Sebagai contoh, jika pasaran saham menunjukkan corak pergerakan harga menaik yang kukuh, sebagai pedagang, anda harus menumpukan perhatian untuk mencari isyarat pembelian berdasarkan tindakan harga.

 

Isyarat ini boleh dikenal pasti melalui teknik analisis teknikal, seperti mengenali corak pergerakan harga, menganalisis tahap sokongan dan rintangan serta menggunakan petunjuk teknikal.

 

Sebaiknya, adalah dinasihatkan untuk mencari titik pertemuan, di mana pelbagai penunjuk teknikal atau faktor berkumpul, kerana ia dapat memberikan persediaan perdagangan yang membawa kepada kebarangkalian yang lebih tinggi.

 

Sebaliknya, percubaan untuk berdagang dalam setiap pergerakan menurun kecil terhadap pergerakan harga menaik adalah ciri  'khinzir’. Tingkah laku ini sering kali membawa padah dan menyebabkan kerugian.

 

Oleh itu, berhenti mengejar apa yang telah bergerak! Terima sahaja bahawa anda sudah terlepas dan bersabar sehingga isyarat yang jelas muncul untuk peluang berikutnya. Sebagai pedagang, adalah penting untuk menahan godaan serta melawan keinginan yang tidak terkawal dengan memasuki perdagangan yang bertentangan dengan corak pergerakan harga semasa.

 

Ini adalah untuk mengelakkan nasib dari menjadi ‘khinzir’!


 

parafrasa

 


Adakah anda berdagang seperti khinzir?

Adalah penting bagi pedagang untuk mengelakkan perangkap ketamakan dan melakukan perdagangan seperti 'khinzir'.

 

Ingat, perdagangan bukanlah skim cepat kaya. Ia memerlukan kesabaran, daya tahan dan tumpuan untuk mengaut keuntungan yang konsisten dan bukan dengan cara mengejar setiap pergerakan pasaran secara membabi-buta.

 

Elakkan dari  jatuh ke dalam perangkap berbahaya seperti 'khinzir'. Jadi, tanya diri anda sendiri: Adakah anda berdagang dengan disiplin dan rasional? Adakah anda mengikuti petunjuk pasaran dan mengelakkan dari menjana keuntungan yang cepat?

 

Atau sebaliknya? Jika sebaliknya, bermakna, anda berdagang seperti ‘KHINZIR’!

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat - DagangNews.com

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

parafrasa