UMA, sentimen dan psikologi pasaran saham | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 24 Jan 2024 08:00 AM

UMA, Sentimen dan Psikologi Pasaran Saham

 

 

 

PENJUALAN saham dalam kalangan kaunter bermodal kecil di Bursa Malaysia secara besar-besaran dan berterusan telah menyebabkan kerugian kolektif sebanyak RM7.1 bilion.

 

Penurunan mendadak ini berlaku dalam tempoh singkat, pertengahan Januari selepas mengalami lonjakan kenaikan harga yang agresif pada minggu pertama tahun 2024.

 

Keadaan ini tidak mencetuskan panik pasaran, tetapi menimbulkan keraguan dan meragut keyakinan segelintir pelabur terhadap pasaran saham.

 

Fenomena kompleks ini telah membawa satu naratif serta perspektif baharu terhadap hubungan rumit antara penurunan pasaran dan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA).


 

uma
Contoh soalan UMA daripada Bursa Malaysia yang mesti dijawab segera oleh penerima. - DagangNews

 


Dimensi Emosi dalam UMA

Melalui perspektif emosi, pendekatan segera seperti sekatan mendadak, pertanyaan UMA, dan penghentian Jualan Singkat Sehari (IDSS) mungkin bukan sekadar langkah pendekatan peraturan pasaran biasa.

 

Sebaliknya, ia mencerminkan tindak balas emosi secara kolektif dalam pasaran, seolah-olah pasaran itu sendiri merasai ancaman yang perlu diatasi.

 

Dimensi emosi ini memberikan warna serta kompleksiti tambahan kepada pemahaman umum tentang fenomena ini.

 

Oleh itu, melihat situasi dari segi dimensi emosi boleh membantu kita memahami maksud tersirat di sebalik setiap tindakan pasaran, ia merangkumi elemen psikologi kolektif yang sering kali memberi dorongan kepada keputusan pelaburan dan dinamik pasaran secara keseluruhan.

 

Apabila perspektif ini digabungkan, kita dapat memahami bagaimana kebijaksanaan kolektif dan faktor emosi memainkan peranan dalam membentuk dinamik pasaran yang kompleks.

 

Sentimen Pelabur sebagai Petunjuk Utama

Meneroka psikologi pelabur membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai penurunan pasaran.

 

Fenomena ini bukan hanya melibatkan data kewangan semata-mata, tetapi mencerminkan sentimen peserta pasaran – satu dimensi dan elemen yang sering diketepikan dalam analisis tradisional. Tidak dinafikan, sentimen pelabur adalah subjektif dan sukar untuk dinilai.

 

Tetapi, dengan menjadikan sentimen pelabur sebagai petunjuk utama, kita tidak hanya dapat mengetahui apa yang berlaku di dalam pasaran, malah mengetahui faktor sebenar di sebalik tindakan dan pergerakan itu.


 

eksponen

 


Bagaimana emosi dan persepsi kolektif pelabur mempengaruhi keputusan pelaburan, dan membentuk corak pergerakan pasaran menjadi lebih jelas apabila faktor sentimen diambil kira.

 

Pendedahan terhadap sentimen pelabur bukan sekadar satu pendekatan baru; sebaliknya, ia membawa revolusi dalam analisis pasaran.

 

Manusiawi, mungkin bunyinya agak janggal, tetapi, jika diambil kira dalam analisis pasaran, kita akan mula melihat lebih mendalam ke dalam perubahan pasaran melalui sudut pandang baharu.

 

Pendekatan ini memperkukuh peranan penting psikologi pelabur dalam membentuk dinamik pasaran, membuka peluang kepada aspek yang sering diabaikan dalam analisis konvensional.

 

Memasukkan sentimen pelabur sebagai elemen tambahan dalam analisis dan strategi pelaburan merupakan tindakan proaktif dalam usaha untuk mendapatkan analisis yang lebih tepat dalam meramalkan pergerakan pasaran.

 

Algoritma Pembelajaran Mesin untuk Membaca Pasaran

Melalui pendekatan proaktif – penggunaan algoritma pembelajaran mesin dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam dalam menganalisis dinamik pasaran secara menyeluruh.


 

eksponen

 


Persoalannya; Adakah kita dapat meramalkan dengan tepat kejadian UMA dan penurunan pasaran yang bakal berlaku?

 

Jawapannya, boleh.

 

Salah satu cara adalah dengan memasukkan data corak UMA dari sejarah perdagangan ke dalam model pembelajaran mesin.

 

Hasilnya, kita dapat mengenali corak dan korelasi yang mungkin terlepas dari analisis konvensional. Kaedah ini bukan sahaja membolehkan kita untuk meramal pergerakan pasaran pada masa akan datang, tetapi juga memberikan dimensi tambahan untuk memahami dinamik pasaran yang kompleks.

 

Penggunaan teknologi pembelajaran mesin bukan sekadar alat, tetapi sebagai pendorong untuk melengkapkan batasan yang ada pada analisis konvensional, meneroka lebih mendalam ke dalam data UMA yang terdahulu.

 

Ini memberi kelebihan kepada pelabur dan penganalisis pasaran dalam membuat keputusan yang lebih terangkum dengan mengesan corak tindakan dan pergerakan yang mungkin tersembunyi sebelum ini.

 

Penyelarasan kebijaksanaan manusia dan kecerdasan buatan dapat meningkatkan tahap persediaan dan daya respons terhadap perubahan dalam landskap pasaran kewangan yang sentiasa berubah.

 

Menghubungkan UMA dengan Dinamik Pasaran

Sementara kita berusaha untuk menyambung titik antara UMA dan penurunan pasaran, naratif ini sebenarnya membawa kita ke pandangan yang inovatif.

 

UMA, yang biasanya dianggap sebagai tindakan reaksi, ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai alat proaktif untuk meramal perubahan pasaran.


 

hikayat

 


UMA sepatutnya tidak terbatas kepada fungsi penguatkuasaan dan pematuhan peraturan pasaran semata-mata. Sebaliknya, UMA boleh dijadikan sebagai petunjuk awal yang memberi isyarat tentang dinamik pasaran yang sedang berubah.

 

Ini memberi peluang kepada pelabur untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan bertindak lebih awal menghadapi perubahan yang bakal berlaku di pasaran.

 

Secara tidak langsung, dalam keadaan pasaran yang dinamik dan selalu berubah, penggunaan UMA sebagai petunjuk dapat memberikan kelebihan kepada mereka yang dapat mengenal pasti isyarat perubahan pasaran dan pergerakan, ini sama seperti petunjuk analisis teknikal.

 

Antara Teori dan Realiti Pasaran Kewangan

Apa yang berlaku sebenarnya telah membuatkan kita berfikir dan merenung kembali teori berkaitan pasaran kewangan. Fenomena kompleks yang berhubung kait dengan UMA ini menuntut penyesuaian pemahaman tentang pasaran kewangan dari sudut pandang yang lebih luas.

 

Elemen baru ini memberi kita peluang untuk melihat pasaran bukan hanya sebagai tempat di mana transaksi pasaran berlaku, tetapi juga sebagai tempat yang penuh dengan dimensi psikologi dan dinamik kolektif yang memerlukan pandangan yang lebih mendalam.

 

Adakah sebagai pelabur mahupun penganalisis pasaran, kita benar-benar memahami keadaan pasaran dan betapa kompleksnya pengaruh psikologi dan tindakan kolektif dalam setiap tindakan dan pergerakan harga? - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews