Bagaimana cara menjual buku yang anda tulis dengan efektif? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 07 Nov 2020 07:00 AM

Bagaimana Cara Menjual Buku Yang Anda Tulis Dengan Efektif?

 

 

DALAM tahun 2020 sahaja, saya terpaksa menolak permintaan hampir sepuluh penulis buku yang ingin mendapatkan bantuan saya memasarkan buku-buku mereka. Bukan saya tidak berminat, tetapi saya tahu usaha ini tidak akan membuahkan apa-apa hasil.

 

Saya tahu mereka akan marah dan tidak akan suka jika tiada hasil yang memuaskan lebih-lebih lagi apabila beribu-ribu Ringgit telah dihabiskan untuk membayar khidmat pemasaran saya. Ada yang ingin membayar khidmat saya secara bulanan selama enam bulan.

 

Ada yang ingin membayar secara bulanan bersama-sama dengan komisen bagi setiap buku yang terjual dan ada juga yang ingin memberikan komisen sahaja. Walau apa pun tawaran yang ada, terus terang saya jelaskan, lebih baik saya elak terus daripada melakukan projek-projek ini.

 

Ketika awal perbincangan, saya diberi peluang melihat secara kasar buku-buku yang ditulis. Boleh dikatakan buku-buku mereka kesemuanya bagus-bagus belaka. Kualiti mereka memang tiptop. Tajuk bagus, reka bentuk grafik muka hadapan pun cantik dan olahannya pun bagus. Memang nampak profesional. Ada yang menulis buku betul. Ada juga yang menulis buku yang berbentuk digital atau ebook.

 

Tetapi maaf, saya tidak dapat membantu.

 

Bukan saya seorang sahaja, malah mana-mana pemasar yang hebat pun sukar untuk membantu mereka mendapatkan jualan. Bukan kerana buku mereka tidak bagus atau orang ramai di luar sana tidak lagi gemar membaca, tetapi saat dan ketika bantuan ini diperlukan tidak sesuai. Sangat tidak sesuai sebenarnya. Melakar strategi menjual buku yang ditulis setelah buku itu telah siap dicetak merupakan taktik pemasaran yang patut dielakkan sama sekali.

 

Saya mempunyai ramai kenalan baik yang juga penulis buku. Secara luaran memang nampak hebat tetapi realitinya mereka semua tidak mampu mencapai angka jualan yang mereka inginkan. Saya nampak buku yang mereka berikan secara percuma jauh lebih banyak berbanding yang dijual.

 

Walaupun promosi demi promosi dilakukan, walaupun telah menghadiahkan beratus-ratus buah kepada beberapa ‘influencer’ atau individu berpengaruh di media sosial, walaupun telah membayar beratus-ratus Ringgit di Google, Facebook, LinkedIn, Instagram dan pelbagai platform lain, namun sia-sia.

 

Saya pun kurang jelas mengapa menulis buku apabila kos yang perlu ditanggung jauh lebih besar berbanding keuntungan yang diperoleh. Ataupun adakah mereka lebih mengejar status Penulis Buku atau Author untuk dicanang ke sana-sini? Kalau saya, lebih baik tidak menulis langsung.

 

Jadi, bagaimana sepatutnya buku yang mereka tulis itu patut dipasarkan bagi mendapatkan jualan yang terbaik? Sebenarnya, untuk pengetahuan anda, pemasaran sesebuah buku yang ditulis tidak boleh disandarkan hanya kepada doa kepada yang Maha Esa semata-mata. Tidak cukup. Ia perlu disertakan bersama-sama dengan strategi yang kreatif dan usaha yang efektif ala Ocean Eleven.

 

aaa

 

 

Pemasaran sesebuah buku sepatutnya bermula bertahun-tahun sebelum ia ditulis.

 

Jika saya ingin menulis sebuah buku pada tahun 2021 nanti contohnya, saya perlu terlebih dahulu membina komuniti yang kuat di sekeliling saya. Buat masa ini, saya hanya mempunyai 30,000 pengikut setia sahaja di semua platform dalam talian yang angka ini bagi saya tidak mencukupi.

 

Mengikut perkiraan kasar yang saya lakukan secara peribadi, pengikut saya yang akan membeli mungkin tidak sampai 10% sahaja. Mungkin juga hanya 5% atau mungkin juga kurang lagi dari itu.

 

Secara teori, kalau dicampur pembelian yang bakal dilakukan oleh para pengikut dengan hasil buah mulut yang mereka akan lakukan, saya bakal memperolehi jualan sekadar 500 hingga 3,000 buah sahaja. Saya perlu mempunyai komuniti yang jauh lebih besar lagi memastikan jualan buku yang laris.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan komuniti? Komuniti bermaksud sekumpulan pengikut yang sangat percayakan saya. Mereka percaya dengan pemikiran saya, percaya dengan matlamat saya, percaya kepada kelemahan saya, percaya kepada masalah saya, percaya dengan penulisan saya, percaya dengan percakapan saya dan percaya dengan apa jua yang saya pertahankan. Apa yang saya tulis, cakap dan lakukan mereka akan percaya kesemuanya. Sekiranya saya menipu pun, mereka akan percaya juga.

 

Mengapa mereka mempercayai saya sampai begitu sekali? Ini kerana mereka benar-benar tahu bagaimana kualiti hasil kerja saya dengan mendalam. Ini kerana mereka benar-benar tahu bagaimana kualiti pemikiran saya dengan mendalam.

 

Ini kerana mereka tahu siapa Azleen Abdul Rahim sebenarnya. Bagaimana pula mereka boleh tahu siapa Azleen Abdul Rahim dan kualiti yang saya ada? Mudah, mereka telah mengikuti saya secara aktif sejak berbulan-bulan dahulu, sejak bertahun-tahun dahulu di media-media sosial, di laman blog dan di setiap platform penulisan saya diterbitkan. Mereka kenal siapa saya. Mereka faham personaliti saya.

 

Mereka tidak hanya tahu saya di media sosial dan platform-platform itu sahaja. Mereka selalu bertegur sapa dengan saya secara dalam talian. Mereka selalu menghantar pesanan ringkas secara terus kepada saya untuk bersembang. Mereka pernah berjumpa dengan saya. Mereka pernah meminta khidmat nasihat saya.

 

Mereka pernah melepak dan berbincang dengan saya di kedai-kedai mamak. Mereka sanggup menghabiskan wang dan masa datang jauh-jauh dari Alor Setar, Kota Bharu dan ada yang dari Jakarta dan Singapura untuk berjumpa dengan saya di Shah Alam semata-mata untuk mendapatkan buah fikiran. Ada pula saya telah bantu mereka mendapatkan projek-projek tertentu. Ada juga yang berjaya menulis di akhbar-akhbar tempatan sebagai kolumnis dengan bantuan saya.

 

Para pengikut ini juga merupakan individu-individu yang akan membuat recommendation atau cadangan kepada mana-mana kenalan mereka yang inginkan pandangan dan bantuan berkaitan strategi pemasaran.

 

Walaupun kenalan-kenalan mereka itu tidak kenal siapa saya tetapi disebabkan cadangan itu datangnya dari kawan mereka yang mereka percaya, terus mereka akan menghubungi saya tanpa banyak soal hanya berdasarkan kepercayaan tersebut. Begitu juga sekiranya personaliti saya diserang, mereka juga yang akan menjadi benteng utama yang akan pertahankan serangan-serangan ke atas saya itu.

 

aaa

 

Inilah yang saya maksudkan dengan komuniti. Lihat bagaimana sesebuah komuniti itu berfungsi.

 

Sebagai seorang penulis buku, saya tahu kebarangkalian untuk orang membeli akan lebih baik jika saya mempunyai lebih ramai pengikut yang kenal baik akan personaliti saya tidak kira secara fizikal ataupun dalam talian.

 

Dengan kata lain, lebih besar komuniti yang saya ada, lebih besar jualan buku yang akan saya peroleh. Bukan buku sahaja, sebenarnya saya boleh menjual apa sahaja dan mereka pasti akan datang membeli. Saya tidak akan mampu memaksa orang yang saya tidak kenal untuk datang membeli buku saya.

 

Tetapi saya mampu menukar komuniti saya kepada pembeli dengan mudah. Strategi ini baru efektif. Sebagai penulis buku yang baik, anda juga perlu tahu bagaimana caranya menjual buku yang anda tulis itu dengan baik.

 

Formulanya mudah. Kadar jualan buku anda bergantung secara langsung dengan kadar saiz komuniti anda dan juga buah mulut mereka tentang anda. – DagangNews.com

 

 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi ruangan IDEA DIGITAL setiap Sabtu.

 

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

Mengapa Strategi Pemasaran Mahal?

E-pemasaran : Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google