Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja
AirAsia, McDonalds, Netflix dan Starbucks. Jenama-jenama ini sahaja yang akan anda ingat buat kali pertama dalam fikiran anda apabila anda bercadang untuk membeli tiket penerbangan murah, makan makanan segera, menonton filem dan untuk melepak sambil minum kopi. Walaupun terdapat banyak lagi jenama lain yang ada sebagai pesaing mereka, namun dalam fikiran anda ini yang akan tersembur keluar dahulu.
Mengapa? Terdapat dua sebab utama.
Pertama, apa yang mereka tawarkan ialah penyelesaian kepada masalah.
- AirAsia membantu kita menyelesaikan masalah harga tiket penerbangan yang terlalu mahal.
- McDonalds membantu kita menyelesaikan masalah malas memasak setiap hari.
- Netflix membantu kita menyelesaikan masalah bil televisyen kabel yang mahal setiap bulan.
Alasan kedua ialah, mereka mempunyai strategi penjenamaan yang sangat baik. Ia sangat mudah diingati, mudah disebut dan mudah dieja. Hasilnya, jenama-jenama ini mampu berlegar-legar di fikiran kita dan dengan sekelip mata akan terkeluar apabila kita teringatkan untuk membeli atau bercadang untuk membeli sesuatu produk yang mereka ada.
Hindar daripada percaya dengan mitos-mitos penjenamaan ini dan dengan sendirinya ia akan membuatkan jenama kita mudah diingati. Bagaimana?
Orang kata nama yang baik dan logo yang baik tidak penting. Jangan percaya.
Sekiranya anda ingin tahu, kedua-dua faktor inilah yang mampu membuatkan seseorang itu akan mudah teringatkan jenama kita. Kalau kita main cincai sahaja meletakkan nama jenama kita, nama produk kita dan nama perkhidmatan kita ikut suka tanpa melakukan sedikit penyelidikan, ia akan menyukarkan orang lain untuk ingat. Ini secara tidak langsung menyediakan peluang kepada bakal pelanggan untuk ingat jenama pesaing kita pula.
Belum bertarung lagi sudah kalah, macam mana ni. Begitu juga dengan lakaran logo. Logo kita harus juga senang diingati. Logo yang senang diingati ialah apabila sesuatu logo itu mudah untuk dilukis kembali tanpa perlu melihatnya.
Orang kata elemen grafik tidak penting pun. Jangan percaya.
Elemen-elemen grafik yang digunakan oleh kita perlu konsisten di mana sahaja ia diletakkan. Apakah elemen grafik? Ia merujuk kepada penggunaan warna, penggunaan objek yang dilukis, penggunaan jenis font kepada huruf dan perkataan, dan lain-lain grafik juga. Bayangkan ini. Anda sedang menonton televisyen. Tiba-tiba ada satu iklan keluar. Bagaimana anda boleh tahu iklan tersebut merujuk kepada sesuatu jenama walaupun logonya belum lagi keluar dan namanya belum lagi keluar? Kerana iklan tersebut menggunakan warna yang konsisten, objek yang konsisten, bunyi yang konsisten dan grafik yang konsisten yang unik kepada satu jenama itu sahaja. Jadi setiap elemen grafik yang wujud di e-mel anda, persembahan slaid anda, video anda, infografik anda, artikel anda dan sebagainya perlu konsisten.
Tawaran nilai yang berbeza tidak penting pun. Jangan percaya.
Apakah tawaran nilai? Tawaran nilai atau value proposition ialah apabila produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu berbeza dari para pesaing lain yang ada di luar sana. Ia merupakan juga jawapan kepada persoalan Mengapa mereka perlu membeli dari anda? Tidak banyak jenama yang boleh menjawab soalan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak perbezaan yang ketara dengan para pesaing mereka.
Tanpa tawaran nilai yang kuat juga, para pembeli tidak mempunyai sebab yang kuat untuk membeli daripada anda. Contohnya, saya seorang penasihat dan juruperunding strategi pemasaran. Di luar sana, terdapat beberapa orang lagi yang menawarkan khidmat yang sama seperti apa yang saya tawarkan.
Jadi tawaran nilai yang saya ada yang membuatkan saya sangat berbeza daripada orang lain ialah, saya mempunyai pengalaman luas dari sektor korporat sehinggalah kepada sektor bisnes. Pengalaman mengendalikan pemasaran untuk sektor korporat, mengendalikan pemasaran untuk sektor bisnes kecil dan sederhana, mengendalikan pemasaran untuk syarikat multinasional luar negara termasuk juga sektor halal.
Tidak ramai yang mempunyai kredibiliti begini dan saya yakin ini tawaran nilai yang kuat untuk saya. Tawaran nilai yang baik ialah apabila orang ramai tahu yang mereka perlu membeli dari anda kerana mereka faham yang hanya anda sahaja yang boleh membantu mereka menyelesaikan masalah yang ada. Dengan erti kata lain, jawapan kepada penyelesaian masalah mereka ialah anda.
Jenama hanya untuk syarikat besar sahaja. Jangan percaya.
Kita sebenarnya boleh mulakan inisiatif penjenamaan dengan penjenamaan diri kita sendiri dahulu. Ia dikenali sebagai penjenamaan peribadi atau personal branding. Terdapat dua cara bijak jika kita ingin mulakan penjenamaan peribadi ini.
Pertama, bina laman blog sendiri. Masukkan profil terkini kita di laman ini. Kemudian tulis artikel, masukkan video, lakar infografik dan masukkan gambar-gambar secara berterusan dan konsisten.
Kedua, gunakan LinkedIn. Ia merupakan satu platform media sosial profesional yang terbesar di dunia. Kita boleh membina rangkaian rakan-rakan profesional kita di sana untuk memperoleh peluang-peluang pekerjaan dan bisnes.
Bukan tidak boleh percaya cakap orang, cuma perlu selidiki maklumat yang dikongsikan itu terlebih dahulu. Kadang-kadang apa yang diceritakan itu hanyalah mitos dan ia tidak sama sekali tepat.
AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi ruangan IDEA DIGITAL setiap Sabtu.
KOLEKSI IDEA DIGITAL:
SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!
Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog
Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini
Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu
Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google