Apa yang anda tahu mengenai moratorium? Ini penjelasannya
PENULIS menerima banyak soalan asas mengenai moratorium ini dan diminta untuk memberikan pandangan dari sudut kewangan Islam. Berikut adalah 4 soalan utama yang kerap dibangkitkan dalam isu tersebut.
Apakah moratorium dan bagaimana pandangan penulis terhadap pelaksanaan moratorium kali kedua ini?
Dari kamus Oxford, moratorium bermaksud 'pengharaman sesuatu aktiviti secara sementara'. Dalam bahasa undang-undang pula, ia ditakrifkan sebagai 'kebenaran sah kepada penghutang untuk menangguhkan pembayaran'.
Jika dipandang dari sudut kewangan, moratorium ini adalah 'pelanggan bank tidak perlu membuat pembayaran hutang mereka dalam satu jangk amasa yang diperuntukkan”. Dalam erti kata lain ia boleh diibaratkan sebagai 'cuti daripada membuat pembayaran hutang'.
Ketika pelaksanaan moratorium yang pertama, pemberian moratorium adalah secara automatik. Pelanggan bank diberi pilihan untuk opt out, iaitu memberitahu bank bahawa mereka tidak memerlukan moratorium ini dan seterusnya terus membayar bayaran bulanan seperti biasa.
Bagi pelaksanaan kali kedua pula, pemberian moratorium adalah bukan secara automatik. Pelanggan bank diberi pilihan untuk opt in, iaitu memberitahu bank bahawa mereka mahu menikmati moratorium ini dan seterusnya berhenti membuat bayaran bulanan untuk suatu tempoh yang diberikan.
Apakah kesan pelaksanaan moratorium kepada pelanggan dan juga bank apabila ia dikuatkuasakan?
Moratorium ini sebenarnya adalah arahan dari pihak kerajaan, melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank-bank memberikan cuti pembayaran bulanan ini kepada para pelanggan bank yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Objektif utama ialah membolehkan para pelanggan dapat ‘bernafas’ dalam pengurusan kewangan mereka disebabkan kehilangan kerja atau perniagaan terpaksa dihentikan.
Apabila mereka mendapat penangguhan ini, sekurang-kurangnya duit yang mereka peruntukkan untuk membuat bayaran bulanan bank dapat diguna untuk membiayai keperluan harian seperti makanan, ubat-ubatan dan hutang-hutang lain yang perlu dibayar.
Arahan BNM untuk pelaksanaan moratorium ini juga memberikan imej yang baik kepada bank kerana walaupun penubuhan bank dilihat sebagai entiti perniagaan, namun, mereka juga menimbang kemaslahatan para pelanggan dengan memberikan 'cuti' ini.
Harus diingat bahawa bank sebenarnya tertakluk kepada pelbagai undang-undang perakaunan antarabangsa dan pemberian moratorium ini sebenarnya membawa kesan yang agak parah kepada bank dari sudut modification loss atau kerugian pengubahsuaian.
Jumlah ini adalah besar dan jika tidak dikawal selia, akan menyebabkan kestabilan sistem kewangan dalam industri kewangan negara menjadi kucar-kacir.
Apakah yang dimaksudkan dengan keuntungan terakru dan bagaimana ia berlaku?
Seperti yang diketahui pembayaran bulanan hutang kepada bank terdiri daripada dua bahagian. Satu bahagian ialah pembayaran untuk mengurangkan jumlah pembiayaan yang ditawarkan dan sebahagian lagi adalah untuk pembayaran keuntungan kepada pihak bank.
Keuntungan terakru ini adalah jumlah bahagian pembayaran keuntungan kepada pihak bank.
Untuk kefahaman bersama, penulis memberikan satu situasi di mana bayaran bulanan hutang pelanggan bank adalah RM1,500 sebulan. Dalam jumlah itu, terdapat satu bahagian, contohnya, RM1,100 adalah bahagian untuk pembayaran pengurangan jumlah pembiayaan manakala RM400 adalah pembayaran keuntungan bank. Oleh demikian, jumlah RM400 ini adalah keuntungan terakru yang dimaksudkan.
Jika pelanggan bank memilih moratorium, maka keuntungan terakru ini tidak diterima oleh bank pada bulan tersebut dan seterusnya ia akan menyebabkan bank tidak dapat merealisasikan keuntungan.
Oleh itu, pihak bank akan dibebani dengan isu modification loss sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini.
Adakah moratorium merupakan penyelesaian kepada masalah B40 dan M40?
Penulis merasakan pelaksanaan moratorium ini adalah bersifat sementara untuk memberi nafas kepada pelanggan bank yang terkesan dengan pandemik ini untuk menguruskan aliran tunai mereka.
Wang itu diharapkan dapat digunakan dengan bijak sekurang-kurangnya untuk membeli barang keperluan sepanjang tempoh moratorium ini.
Jadi, moratorium bukanlah satu penyelesaian kepada B40 dan M40. Ia sekadar bantuan pernafasan tunai kepada para pelanggan bank.
Mereka seharusnya menggunakan moratorium ini sebaik-baiknya untuk menampung keperluan harian serta berfikir untuk membina strategi meneruskan kehidupan apabila moratorium tamat.
Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com