Menangkis tohmahan wujudnya riba dalam perbankan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 06 Jul 2021 07:17 AM

Menangkis tohmahan wujudnya riba dalam perbankan Islam

 

 

WALAUPUN bermula sejak 1983, masih kedengaran siulan-siulan yang mengatakan bahawa riba masih diamalkan dalam perbankan Islam. 

 

Para cendekiawan Islam dikatakan cuba menyembunyikan riba dalam untung dan seterusnya membina konsep jual beli untuk mengaburkan mata para pelanggan bank.

 

Apakah ia benar?

 

Kemudahan kredit dalam perbankan sebenarnya adalah untuk membantu individu ataupun entiti perniagaan yang memerlukan bantuan kewangan. 

 

Keperluan bantuan kewangan ini adalah:

  • Untuk modal pusingan (working capital) persendirian atau untuk kos perbelanjaan (operating expenditure) perniagaan seperti gaji pekerja dan bil-bil tetap.
  • Untuk memiliki harta seperti rumah, tanah, kenderaan dan lain-lain aset

 

Dalam perbankan tradisional biasanya bank akan beri pinjaman kepada individu dan entiti yang memohon untuk mendapatkan kemudahan kewangan seperti kedua-dua sebab seperti di atas. 

 

Bank akan kenakan faedah atas jumlah pinjaman yang diberikan kepada pelanggan.

 

Sedangkan dalam perbankan Islam, pinjaman dibenarkan tetapi tanpa faedah. 

 

Jadi, sebagai syarikat perniagaan, urus niaga memberi pinjaman tanpa faedah kepada pelanggan adalah tidak bijak selain daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu secara ihsan sahaja. 

 

Kalau terus-menerus bank memberi kemudahan pinjaman, bank tidak mampu untuk menanggung kos perbelanjaan termasuk gaji para pekerja dan sebagainya.

 

 

jual beli
Keperluan bantuan kewangan adalah untuk tujuan seperti pemilikan rumah, kenderaan dan lain-lain aset.

 

 

Kemudahan bukan pinjaman

 

Oleh itu, perbankan Islam telah mengadakan kemudahan kredit yang berdasarkan kepada kemudahan bukan pinjaman. 

 

Kemudahan kredit ini adalah bersandarkan kepada konsep jual beli di mana keuntungan yang dijana oleh transaksi tersebut dapat dijadikan pendapatan kepada bank.

 

Sebenarnya, pendekatan kemudahan kredit bukan pinjaman tanpa faedah ini adalah urus niaga jual beli suruhan Allah seperti di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 275:

 

“Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barangsiapa mendapat peringatan dari Tuhannya, lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barangsiapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”.

 

Oleh demikian, batu asas operasi kemudahan kredit perbankan Islam adalah daripada ayat tersebut dan ia terus berkembang hingga ke hari ini. 

 

Ia adalah suruhan Allah dan bukan direkacipta untuk menyembunyikan riba seperti yang diungkit oleh sebilangan individu yang, pada firasat penulis, tidak memahami ilmu fiqh muamalat dan usul fiqh.

 

Untuk kemudahan modal pusingan, kaedah pengaturan tawarruq dengan konsep jualan harga kos tambah untung (murabahah) sering digunakan. 

 

Kaedah ini menggunakan pelantar komoditi yang disediakan oleh beberapa syarikat yang diiktiraf oleh industri.

 

Untuk kemudahan pemilikan harta pula, konsep-konsep jual beli yang lain seperti jual beli pembuatan, sewaan untuk pemilikan, pemilikan secara ansuran dan beberapa konsep lagi telah tersedia di pasaran perbankan Islam.

 

Konsep-konsep ini adalah sejajar dengan suruhan Allah di mana ia mampu untuk membenteras kegiatan pinjaman dengan faedah yang telah menjadi wabak dalam sistem kewangan negara.

 

Penulis menyeru agar kita sama-sama saling membantu untuk menyebarkan ilmu muamalat Islam ini agar kesedaran para pelanggan dalam kemudahan kredit perbankan Islam dapat ditingkatkan. 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com