Aurelius Healthcare perkenal pakaian seragam hospital baharu hasil sentuhan Rizman Ruzaini | DagangNews Skip to main content

Aurelius Healthcare perkenal pakaian seragam hospital baharu hasil sentuhan Rizman Ruzaini

Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 10 Mei – Aurelius Healthcare telah melancarkan pakaian seragam baharunya, yang merupakan hasil karya pereka duo tempatan terkenal, Rizman Ruzaini. 

 

Kerjasama unik ini menampilkan reka bentuk yang menyatukan keanggunan dengan ciri kemodenan, bagi memberi nafas baharu kepada kakitangan hospital an tetamu. 

 

Di bawah Aurelius Healthcare terdapat tiga hospital, iaitu Aurelius Hospital Negeri Sembilan, Aurelius Hospital Pahang, dan Aurelius Hospital Alor Setar yang bakal siap.

 

aurel
Pakaian staf hospital Aurelius menerima sentuhan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini. 

 

Koleksi itu menampilkan 13 set pakaian seragam untuk pelbagai jawatan yang berlainan, termasuk jururawat, khidmat pelanggan, pejabat hadapan, pembantu penjagaan kesihatan dan sebagainya. 

 

Ia direka dengan teliti dan memaparkan warna-warna cerah untuk pengecaman yang mudah.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, koleksi ini bukan sekadar pakaian seragam, ia melambangkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dalam semua aspek operasi. 

 

“Kami menyedari setiap perincian adalah penting, daripada penjagaan pesakit sehinggalah imej kakitangan kami, dan kolaborasi dengan Rizman Ruzaini ini membolehkan kami melaksanakan dedikasi ini secara holistik. 

 

"Dengan menyatukan fungsi dan gaya, kami percaya pakaian seragam ini bukan hanya dapat menyemarakkan semangat pasukan, tetapi juga memupuk suasana lebih positif bagi pesakit dan kakitangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Pakaian seragam itu membuat penampilan sulung pada pertunjukan fesyen yang berlangsung semasa rumah terbuka Aurelius Healthcare yang bertema ‘Glam Raya’, yang juga menyajikan persembahan menarik daripada rtis terkenal, Aina Abdul.
 

Sempena majlis itu, Aurelius Healthcare turut mengumumkan penjenamaan semula Hospital Aurelius Nilai kepada Hospital Aurelius Negeri Sembilan. 

 

logo

 

Langkah itu menonjolkan dedikasi Aurelius Healthcare untuk melanjutkan perkhidmatan kepada komuniti Negeri Sembilan yang lebih luas dengan menyediakan rangkaian perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang komprehensif.

 

Mewujudkan masa depan penjagaan kesihatan yang lebih baik sejak penubuhan pada 2019, Aurelius Healthcare telah memulakan pertumbuhan organik dan bukan organik secara berterusan untuk memperluaskan impaknya serta menaik taraf tawarannya. 

 

Pada 2023, kumpulan itu, dengan sokongan Navis Capital Partners, telah melakar beberapa pencapaian penting, termasuk pengambilalihan Pahang Medical Centre yang kini dikenali sebagai Aurelius Hospital Pahang (AHP). 

 

Selari dengan visinya untuk menjadi hospital tertiari yang canggih, AHP akan menampilkan 124 katil, termasuk perkhidmatan jagaan harian, dan memperkenalkan Pusat Kecemerlangan baharu, seperti Onkologi, Pembedahan Invasif Minimum, Pembedahan Ortopedik, serta Wanita & Kanak-kanak termasuk Rawatan IVF. 


Menurut Amir, pihaknya masih di peringkat awal perjalanan untuk membawa standard pengurusan global kepada kemudahan penjagaan kesihatan di bandar serta luar bandar. 

 

"Penjagaan kesihatan swasta merupakan segmen yang dinamik dan sentiasa berkembang. 

 

"Jadi, kami bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya dan akan terus mencari peluang strategik untuk mengubah, berinovasi dan mengembangkan operasi kami, demi menetapkan piawaian baharu dalam pengurusan hospital dan penjagaan kesihatan di seluruh Malaysia dan rantau ini,” katanya.- DagangNews.com