[EKSKLUSIF] 7 transformasi digital perlu diberi perhatian | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] 7 transformasi digital perlu diberi perhatian

Transformasi digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada awal Januari 2021 mengundang reaksi bercampur-campur daripada pelbagai pihak khususnya golongan peniaga.

 

Dalam aspek pendigitalan, kehadiran wabak berkenaan secara tidak langsung mencabar perniagaan agar mempercepatkan transformasi digital untuk kekal bertahan mengharungi krisis global tersebut.

 

Adam Yee
Adam Yee 

 

Susulan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee berpendapat, tujuh arah aliran transformasi digital perlu diperhatikan pada 2021.

 

 

1) Pelaksanaan rangkaian 5G 

  • Tulang belakang kepada revolusi infrastruktur IT dan Revolusi Perindustrian 4.0 ini akan menjadi peristiwa bersejarah yang penting untuk negara kita dalam 2021.

 

 

2) Pengurusan data & kepintaran buatan (AI)

  • Wabak COVID-19 menjadi pencetus kepada perkembangan pesat dalam pendemokrasian pengurusan data dan kepintaran buatan (AI). 
  • Ia sekali gus membuka laluan kepada pengoptimuman operasi dalam segenap industri
  • AI berupaya untuk membantu analisis dan pemprosesan set data yang besar dan rumit dalam kitaran hayat keseluruhan produk-produk yang lebih baik, perisian yang lebih cekap dan pengeluaran yang teroptimum.

 

 

3) Keselamatan siber 

  • Keselamatan siber kini menjadi komponen yang kritikal untuk mencegah ancaman siber dalam semua industri. 
  • Mekanisme keselamatan yang menyeluruh dan cara berfikir berorientasikan keselamatan dalam segenap organisasi adalah penting bagi mengelak dan mengawal risiko ini.

 

 

4) Teknologi masa hadapan

  • Teknologi masa hadapan seperti penyepaduan sistem, pengeluaran berautonomi dan berdaya tambah seperti cetakan 3D akan mendominasi arah aliran IR4.0 dalam industri pembuatan untuk merancakkan produktiviti.

 


5) Kekurangan bakat dengan kemahiran kacukan (hybrid skills) 

  • Pada 2021, industri perlu memberi tumpuan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran bakat digital dan proses automasi.

 

 

6) Hujung grid dan antara muka pengurusan aset 

  • Hujung grid dan antara muka pengurusan aset ialah tumpuan utama sektor tenaga dan infrastruktur.
  • Hujung grid ialah antara muka di antara bekalan dan permintaan tenaga teragih dengan grid elektrik.
  • Teknologi dan penyelesaian pada antara muka ini merangkumi aset-aset permintaan, aset penjanaan teragih, dan perkhidmatan-perkhidmatan yang menyokong fungsi-fungsi teknologi ini.

 

 

7) Ketersambungan dalam infrastruktur dan intra-logistik, ketelusan data dan rangkaian akan kekal menjadi tumpuan dalam 2021. 

 

 

Tambah beliau, kehadiran wabak memberi hikmah apabila banyak syarikat terutamanya syarikat-syarikat yang konservatif dan tradisional terpaksa menerima proses pendigitalan.

 

"Saya rasa tahun ini sahaja menyaksikan jauh lebih banyak penggunaan digital berbanding dalam tempoh 10 tahun yang lepas.

 

"Sebagai sebuah syarikat yang menerajui pendigitalan, Siemens berupaya membantu ramai pelanggan kami untuk menerima teknologi-teknologi digital, di samping mencuba perkara-perkara yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini. 

 

"Kami juga belajar untuk bekerja dalam kekangan-kekangan yang ada dan bertindak balas dengan lebih pantas terhadap gangguan-gangguan dalam pasaran," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama DagangNews.com baru-baru ini.

 

Siemens Malaysia ialah syarikat penyedia teknologi terkemuka dengan rangkaian produk dan penyelesaian yang menyeluruh untuk pelbagai pasaran ekonomi Malaysia. 

 

Syarikat tersebut adalah pakar dalam perkhidmatan infrastruktur pintar bagi bangunan dan sistem penjanaan teragih, dan perkhidmatan automasi serta digitalisasi untuk industri pembuatan dan pemprosesan.

 

Ditanya berkaitan jangkaan industri pada 2021, beliau memberitahu, 2021 akan terus menjadi tahun yang sarat dengan ketidaktentuan dan memberi satu permulaan baharu.

 

"Pada masa yang sama, ia juga merupakan satu permulaan baharu untuk kita membentuk, membangunkan dan memulihkan semula perniagaan. 

 

"Ada banyak peluang untuk kami berkembang di Malaysia, terutama sekali dalam sektor pembuatan dan infrastruktur.

 

"Kami juga mahu membantu generasi-generasi akan datang untuk meningkatkan dan melatih semula kemahiran-kemahiran mereka agar mereka berupaya menjadi tunjang kepada ekonomi Malaysia," tambah beliau lagi. - DagangNews.com