Jetson cadang ambil alih 51% saham Magical Era yang memiliki Vendor City Industrial Park | DagangNews Skip to main content

Jetson cadang ambil alih 51% saham Magical Era yang memiliki Vendor City Industrial Park

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Kumpulan Jetson Berhad telah menandatangani surat hasrat (LOI) dengan Datuk Seri Baljinder Singh Surinder Singh untuk merundingkan terma dan syarat bagi cadangan pengambilalihan 51% saham biasa dalam Magical Era (M) Sdn Bhd yang dianggarkan bernilai RM31 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Jetson berkata anak syarikatnya, Jetson Development Sdn Bhd, yang terlibat dalam pembangunan hartanah, memeterai (LOI) tersebut pada 1 November.

 

Magical Era terlibat dalam perkhidmatan perundingan kewangan dan merupakan pemilik benefisial bagi hartanah tanpa halangan yang dikenali sebagai

 

Menurut Jetson, LOI berkenaan membolehkan Jetson Development mengadakan rundingan untuk memperoleh pegangan kawalan dalam Magical Era yang memiliki Vendor City Industrial Park, iaitu pembangunan industri bersepadu mewah dalam pusat perindustrian, pendidikan dan rekreasi di Melaka.

 

“Justeru, [boleh] mengambil bahagian dalam pembangunan tanah perindustrian utama memandangkan lokasi strategiknya dan mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif berterusan yang dijalankan oleh kerajaan negeri Melaka untuk menarik pelbagai projek pelaburan ke negeri ini,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Jetson berkata LOI itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, penggearan, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Saham Jetson ditutup tidak berubah pada 26.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM71 juta. - DagangNews.com