McDonald's Malaysia peruntuk RM5,000 naik taraf bilik guru penerima Anugerah Guru Inspirasi 2023 | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia peruntuk RM5,000 naik taraf bilik guru penerima Anugerah Guru Inspirasi 2023

McDonald’s Malaysia mengumumkan seramai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2023 pada 15 Mei 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei - McDonald’s Malaysia mengumumkan seramai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s 2023 bagi menghargai warga pendidik Kementerian Pendidikan (KPM) yang memaparkan komitmen luar biasa dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak murid. 

 

Hasil kerjasama kukuh KPM dan McDonald’s Malaysia, AGI McDonald’s 2023 berjaya membongkar kisah guru luar biasa di serata Malaysia, yang mana lebih 16,000 pencalonan telah diterima, melebihi tiga kali ganda jumlah pencalonan yang diterima tahun lepas. 

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, kisah-kisah luar biasa menunjukkan anugerah itu mendapat perhatian ramai serta merupakan platform masyarakat berkongsi kisah luar biasa guru kebanggaan mereka yang telah memberi impak dalam kehidupan.

 

Katanya, pihaknya juga akan memperuntukkan sebanyak RM5,000 menaik taraf bilik-bilik guru di sekolah-sekolah penerima AGI McDonald’s bertugas, sebagai tanda sokongan lebih menyeluruh buat guru-guru luar biasa serta rakan sekerja di sekolah tersebut. 

 

"Hadiah ini juga sebagai tanda sokongan McDonald’s kepada inisiatif KPM dalam menjaga kebajikan dan memastikan kesejahteraan guru-guru," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, McDonald’s juga tidak melupakan anak-anak murid yang telah mencalonkan para guru ini.  

 

Atas persetujuan dan kelulusan KPM, selain menerima trofi, sijil dan baucar bernilai RM500, mereka juga akan dihadiahkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Ko-kurikulum (PAJSK) bagi inisiatif menghantar kisah-kisah menarik tentang guru-guru kebanggaan mereka. 

 

 

mcd
McDonald’s Malaysia juga menyumbang peruntukan sebanyak RM5,000 untuk menaik taraf bilik-bilik guru di sekolah-sekolah penerima AGI McDonald’s.

 

 

Markah ini akan dapat membantu melonjakkan pencapaian murid-murid dalam bidang ko-kurikulum, satu elemen penting dalam usaha ke arah kemenjadian murid. 

 

Sejak pertama kali dilaksanakan pada 2017, AGI McDonald’s dianugerahkan kepada 156 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik, memotivasi dan memberi impak kepada generasi muda negara.

 

 

mcd
Shaiful Putra Zakaria (berkerusi roda) merupakan antara 25 pemenang AGI McDonald’s 2023, yang menerima anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 15 Mei 2023.

 

 

mcd

 

 

Bagi merancakkan lagi sambutan Hari Guru dan menghargai para guru, McDonald’s Malaysia akan meraikan guru-guru Malaysia di semua 340 restoran-restoran McDonald’s seluruh negara sepanjang Mei ini.

 

Tempoh pencalonan AGI McDonald’s 2023 telah mula dibuka pada 20 Mac 2023 dan berakhir pada 15 April 2023. Hadiah utama yang diterima pemenang AGI McDonald’s 2023 adalah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil. - DagangNews.com